Anda di sini

Sarawak ‘ngap’ T-Team

Advertisement

LASAK: Penyerang import Sarawak, Ryan Alan Griffiths (dua kanan) mengasak kubu T-Team pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam tadi. — Gambar Muhammad Rais

Kemenangan 2-0 kukuhkan kedudukan Ngap Sayot pada Liga Super 2014

KUCHING: Dendam kesumat akhirnya terbalas juga apabila Sarawak berjaya membenam T-Team dengan 2-0 pada aksi Liga Super 2014 di Stadium Negeri , Petra Jaya Kuching malam tadi.

Seawal minit ketujuh, pemain tengah Mohd Shahrol Saperi melakukan percubaan awal di luar kotak penalty pasukan pelawat namun bola terkena palang gol.

Lima minit ke- mudian, giliran S Chanturu menguji keupayaan penjaga gawang T-Team dengan melakukan ledakan yang juga hampir menghasilkan jaringan.

Sarawak menguasai perlawanan sepanjang 25 minit babak pertama dengan beberapa percubaan yang hampir-hampir menghasilkan gol.

Namun, usaha gigih anakanak buah Robert Alberts berhasil apabila penyerang import, Muamer Salibasic menceriakan hampir 20,000 penyokong setia Sarawak dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-27.

Bagaimanapun, T-Team yang tertekan dengan jaringan pertama Sarawak melakukan serangan balas dan menghasilkan jaringan pada minit ke-32.

Namun, jaringan itu dibatalkan oleh pengadil kerana pemain T-Team, Nizab Ayub melakukan kekasaran terhadap penjaga gol Sarawak, Mohd Fadzley Ibrahim.

Asakan demi asakan dilakukan oleh kedua-dua pasukan namun babak pertama berakhir dengan Sarawak mendahului 1-0.

Masa rehat, kedua-dua jurulatih memerah otak mencatur strategi lawan masing-masing dengan memperlihat jurulatih Sarawak, Robert Alberts enggan anak-anak buahnya berputih mata di laman sendiri.

Tatkala babak kedua baharu berusia sembilan minit, Sarawak terus menggempur kubu pasukan pelawat dan memperolehi jaringan kedua diledakkan oleh ketua pasukan, Joseph Kalang Tie.

Sarawak akan meneruskan perjuangannya pada saingan Liga Super menentang Lions XII di seberang tambak, Johor (Singapura) pada Sabtu ini (14 Jun).

 

Advertisement