Anda di sini

Rempuh pasu besar

Advertisement

SEORANG wanita maut setelah kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan jalan raya di bulatan Pujut 3, Miri awal pagi semalam.

Mangsa yang dikenali Viroul Kaur, 39, dari Tudan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut sumber, sebelum kejadian sekitar jam 2 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga seorang diri sedang dalam perjalanan menuju ke arah Jalan Lutong.

Setibanya di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar konkrit penghadang jalan sebelum merempuh sebuah pasu besar yang diletakkan di tengah-tengah bulatan berkenaan.

Akibat rempuhan itu, kenderaan mangsa remuk teruk.

Manakala mangsa terpelanting ke bonet belakang keretanya.

Sementara itu, menurut seorang saksi yang hanya dikenali Saiful, 30-an, semasa melalui tempat kejadian, beliau ternampak kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum melanggar konkrit pembahagi jalan dan merempuh pasu besar berkenaan.

Seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan sama turut berhenti di tempat kejadian apabila ternampak kemalangan tersebut.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Katanya, polis trafik sedang menyiasat punca kejadian.

 

Advertisement