Anda di sini

Polis tumpas ‘Geng Pembaris’ curi kereta lama di Melaka

Advertisement

MELAKA: Polis menahan enam anggota kumpulan ‘Geng Pembaris’ yang dipercayai terlibat dalam jenayah curi kereta lama di sekitar Melaka membabitkan nilai kerugian kira-kira RM20,000.

Kumpulan terbabit yang bergiat aktif sejak April lepas menyasarkan kereta model lama tanpa sistem penggera dan mencurinya menggunakan pembaris besi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah dan Jasin bermula jam 5 pagi kelmarin hingga 11 malam kelmarin.

Beliau berkata ketua geng terbabit berusia 45 tahun yang juga merupakan bekas pemandu teksi ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan di parkir Melaka Sentral kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

“Lelaki terbabit berada di dalam sebuah kereta lama jenis Proton Saga yang dilaporkan hilang di Bukit Baru di sini pada April lepas,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Salehhudin berkata hasil pemeriksaan, lelaki terbabit didapati positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk curi kereta, menipu dan curi di dalam bangunan.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis menahan lima lagi anggota kumpulan terbabit terdiri daripada tiga pemandu teksi dan dua lagi bekerja sendiri.

Katanya polis turut merampas enam kereta curi termasuk Toyota Corolla KE dan Datsun 120Y yang disimpan di beberapa kawasan taman perumahan.

Selain itu katanya pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan seperti pembaris besi, pemotong besi, kuku kambing dan pemutar skru turut dirampas.

Katanya dengan tangkapan itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 12 kes curi kereta lama di sekitar Melaka. — Bernama

Advertisement