Anda di sini

Pelihara hubungan rakyat, kerajaan

Advertisement

Oleh Nicklos Louis Kaderi

 

SELAMAT MENJALANKAN TUGAS: Fatimah (empat kanan) menyerahkan surat lantikan kepada penghulu kepada Sim (tiga kanan) di Dalat semalam.

MUKAH: Ketua kaum dan ketua masyarakat memainkan peranan penting untuk memelihara hubungan baik antara rakyat dan kerajaan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ketua kaum dan ketua masyarakat juga perlu memberi maklumat tepat kepada rakyat.

“Jika ketua kaum dan ketua masyarakat memainkan peranan mereka dengan baik, maka sebarang aktiviti atau program dan peluang yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat tidak akan terlepas.

“Justeru, melalui ketua kaum dan ketua masyarakat maklumat akan disalurkan oleh kerajaan untuk rakyat,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Penghulu bagi Masyarakat Cina dan Penyampaian Bantuan Skuad Sayang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dalat di Taman Ceria, Dalat semalam.

Pada majlis tersebut, Penghulu Sim Tan Chuan dilantik menjadi penghulu baharu bagi kawasan Taman Ceria dan Pasar Dalat.

Selain itu, seramai 75 penduduk di kawasan tersebut menerima batuan daripada Skuad Sayang pada majlis tersebut.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Dalat memberitahu Skuad Sayang merupakan satu jentera Wanita PBB untuk mendekati rakyat  dengan kerjasama ketua kaum dan ketua masyrakat di setiap kawasan.

Beliau berkata, penubuhan skuad itu merupakan usaha memastikan kerajaan sentiasa dekat kepada rakyat, selain menunjukkan kasih sayang kerajaan kepada masyarakat dan memastikan kebajikan rakyat terus dijaga dan diambil perhatian.

Beliau berkata, aktiviti dan program bersama-sama rakyat akan dijalankan sepanjang tahun oleh Skuad Sayang seperti lawatan ke kawasan kampung dan rumah panjang.

“Skuad ini ditubuhkan bukan sahaja di peringkat cawangan malah peringkat akar umbi iaitu setiap ranting. Dengan usaha ini kita mampu mendalami masalah dihadapi rakyat kerana kita adalah lebih menumpukan kebajikan rakyat.

“Sekiranya didapati terdapat anggota masyarakat sangat memerlukan bantuan, maka kita cuba membantu mereka bagi meringkan beban mereka,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata walaupun Skuad Sayang merupakan jentera bagi Wanita PBB namun Bapa dan Pemuda PBB juga turut dialu-alukan bersama-sama bergerak dengan jentera tersebut.

“Tidak semestinya Bapa dan Pemuda PBB tidak boleh ikut, malah mereka sangat dialu-alukan kerana kita merupakan satu parti yang sama dan semangat kerjasama antara wanita, Bapa dan Pemuda PBB amat diperlukan untuk memantapkan jentera kita selain bukannya hanya aktif ketika menghadapi pilihan raya,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh, Temenggung Hendi Suhai, Pemanca Albert Kiroh serta yang lain.

Advertisement