Anda di sini

Nilai eksport minyak sawit dijangka RM103 bilion menjelang 2020: Uggah

Advertisement

KUCHING: Industri minyak kelapa sawit negara dijangka mencatat nilai eksport RM103 bilion menjelang 2020 ekoran pertumbuhan mantap dalam industri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata industri kelapa sawit negara menunjukkan pertumbuhan kukuh sejak beberapa tahun lalu dalam sektor huluan dan hiliran.

Menurut beliau, pada 2013 minyak kelapa sawit dan produk berasaskan kelapa sawit menyumbang RM61.2 bilion kepada hasil eksport negara dan Dasar Komoditi Negara (DKN) meramalkan  RM103 bilion nilai eksport diperoleh pada 2020.

“Industri ini juga berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan luar bandar dan masalah pengangguran,” ujarnya ketika merasmikan seminar bertajuk ‘Tenaga Kerja Industri Kelapa Sawit: Isu, Pencapaian dan Kelestarian’ 2014 anjuran Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) di sini semalam.

Uggah memberitahu, seminar itu secara tidak langsung akan menjawab persoalan serta isu berkaitan industri kelapa sawit negara antaranya rantaian pengeluaran, masalah tenaga kerja dan cara menarik minat generasi muda menceburi bidang perladangan kelapa sawit.

Menyentuh mengenai tenaga kerja dalam sektor berkenaan, beliau berkata industri itu dijangka terus bergantung kepada tenaga kerja asing lebih-lebih lagi kini negara dalam proses transformasi ekonomi menerusi pembangunan perindustrian serta urbanisasi.

Sebagai contoh ujarnya, industri perladangan kelapa sawit di Sarawak dan Sabah berdepan persaingan sengit daripada Indonesia dalam mendapatkan tenaga kerja memandangkan negara itu pembekal terbesar tenaga buruh asing ke Malaysia.

Pada masa sama katanya, kerajaan mesti memastikan penduduk tempatan diberi peluang lebih baik bekerja di peringkat pengurusan atasan dan pertengahan dalam sektor huluan dan hiliran.

Justeru ujarnya, kadar pengangguran sebanyak tiga peratus ketika ini boleh digunakan bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam industri tersebut sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

“Nampaknya, sukar untuk menarik minat golongan ini dan belia bekerja dalam sektor perladangan. Pendekatan inovatif serta efektif mesti diadaptasi bagi menyelesaikan isu tenaga kerja serta tenaga kerja belia yang terbiar,” katanya.

Beliau memberitahu, ketika ini industri ini menawarkan kira-kira 630,000 peluang pekerjaan dalam semua rantaian pengeluaran bermula dari tapak semaian, perladangan, kilang pemprosesan, kilang penapisan hingga loji kimia-oleo.

Tambahnya sektor perladangan ketika ini menggaji hampir 450,000 pekerja atau 71.4 peratus jumlah pekerja dalam industri kelapa sawit.

“Daripada 630,000 pekerja dalam sektor perladangan, 350,000 atau 77.8 peratus adalah buruh asing, Sabah menggaji pekerja asing paling ramai kerana mempunyai kawasan ladang terluas di wilayah ini.

“Buat masa ini, Sabah menyediakan peluang pekerjaan kepada 150,800 warga asing dalam sektor perladangan, diikuti Semenanjung Malaysia (119,800) dan Sarawak (79,700),” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, kementeriannya telah menubuhkan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) untuk memberi latihan teknikal kepada penduduk tempatan khasnya belia dengan kerjasama industri perladangan.

Tambahnya menerusi kampus wilayahnya di Pusat Latihan Sawit Malaysia di Keratong, Pahang, IMPAC berjaya menghasilkan 1,275 graduan dalam kursus Operator Pengendalian Mesin Perladangan (KOML), tenaga kerja profesional amat diperlukan oleh syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit utama negara.

Hadir sama Pengurus Besar MPOB Datuk Dr Choo Yuen May dan Ketua Eksekutif MPOB Datuk Dr Makhdzir Mardan dan Timbalan Setiausaha Agung Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi Mohamad Sanuri Shahid.

Advertisement