Anda di sini

Lokasi faktor tiada pasukan kadet bomba

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

 

KUCHING: Kebanyakan sekolah yang masih belum memiliki pasukan kadet bomba terletak di luar bandar kerana jauh dari balai bomba dan penyelamat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof berkata, setakat ini hanya 1,428 daripada 2,700 sekolah mempunyai pasukan beruniform itu.

Bagaimanapun, menurutnya, bilangan ahli kadet di seluruh negara berjumlah 159,963.

“Kita boleh lihat separuh daripada sekolah yang ada di seluruh negara masih belum mempunyai pasukan kadet bomba.

“Kebanyakan sekolah yang tidak mempunyai pasukan ini terletak di luar bandar dan berjauhan daripada balai bomba dan penyelamat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan Ke-25 di Pusat Kokurikulum Kem Santubong semalam.

Menurut Amer, beberapa guru akan diberi latihan untuk melatih pelajar di sekolah yang masih belum mempunyai pasukan kadet bomba.

“Kita mempunyai rancangan untuk memberi latihan kepada guru sekolah agar anggota kita tidak perlu lagi pergi ke sekolah untuk melatih,” ujarnya.

Beliau menambah, bilangan sekolah di Sarawak yang mempunyai pasukan berkenaan juga sedikit dengan hanya 97 daripada 186 sekolah dengan ahli seramai 12,526.

Jelasnya, ahli kadet bomba akan diberi keutamaan untuk pengambilan anggota bomba, namun mereka perlu mematuhi kriteria ditetapkan termasuk kelulusan akademik.

“Kita memang beri keutamaan kepada mereka, namun kriteria ditetapkan hendaklah dipatuhi,” jelasnya.

Terdahulu ketika berucap, Amer memberitahu, kewujudan pasukan kadet bomba penting untuk melahirkan budaya keselamatan kebakaran di kalangan masyarakat pada usia muda.

“Apabila mereka (ahli kadet bomba) mempunya pengetahuan, mereka mungkin boleh menyebar ilmu kepada keluarga dan rakan-rakan,” kata Amer.

Hadir sama Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohamad Hamdan Wahid, Pengarah Bomba Sarawak Nor Hisham Mohammad dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Ellen @ Manium Engang.

Advertisement