Anda di sini

Landas juara Liga MuFA benam Press Metal 4-1

Advertisement

JUARA: Pasukan Landas bersama jurulatih dan pengurus pasukan di Padang Mesra Mukah semalam.

MUKAH: Pasukan Landas muncul juara selepas berjaya menewaskan Press Metal dengan 4-1 pada perlawanan akhir saingan Liga MuFA 2014 di Padang Mesra, Mukah petang semalam.

Penyerang berbisa Landas, Asrizal Ramli menjaringkan gol pertama pada minit keenam menjadikan kedudukan 1-0 sehingga tamat 45 minit babak pertama.

Pada separuh masa kedua, Press Metal terpaksa bermain dengan sepuluh orang apabila pemain pertahanannya, Razie Mohd Fazeri dilayangkan kad merah pada minit ke-68.

Namun, bermain dengan sepuluh orang pemain tidak mematahkan semangat Press Metal untuk mengatur serangan.

Press Metal terus melakukan serangan bertubi-tubi ke atas pihak lawan sehingga berjaya menghasilkan gol tunggal pada minit ke-78 hasil jaringan Abdul Zaid Jahui mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Memandangkan kedudukan seri 1-1, kedua-dua pasukan terpaksa bermain untuk masa tambahan iaitu 15 minit sebelah.

Pada minit ke-108 penyerang Landas Leonard, William berjaya menghasilkan gol menjadikan kedudukan 2-1.

Pada minit ke-117 dan minit ke-118 Azrizal berjaya menambahkan jaringan peribadinya menjadikan kedudukan 4-1 sehingga tamat perlawanan.

Landas membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat manakala Press Metal meraih wang tunai RM3,000, piala dan pingat.

Sehubungan itu, Asrizal dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga MuFA 2014 dan membawa pulang wang tunai RM200.

Manakala, penjaring terbanyak Liga MuFA 2014 ialah Ahmad Nadzim Besiri dari pasukan Nafas menjaringkan sebanyak lapan gol dengan wang tunai RM200.

Pasukan Fairplay disandang PSKPP membawa pulang wang tunai RM300.

Pasukan menduduki tempat ketiga bersama iaitu Saza United dan Alostar FC masing-masing meraih wang tunai RM1,000, piala dan pingat.

Perlawanan akhir Liga MuFA 2014 disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Abu Seman Jahwie.

 

Advertisement