Anda di sini

Ekopelancongan asas buaya dikaji

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus

 

SIBU: Sarawak Forestry Corporation (SFC) sedang mengkaji kemungkinan membangunkan produk ekopelancongan berasaskan buaya bagi mencontohi negara Australia dan Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Datu Ali Yusop berkata ini boleh membantu mengimbangi ekosistem dan memberi keuntungan ekonomi yang berpotensi melalui pelancongan, logistik dan industri hospitaliti.

“Populasi buaya di baha-gian muara telah dapat dipulihkan dengan baik walaupun program pemuliharaan kami sering terganggu.

“Apa yang kami harap ialah memastikan orang ramai memperolehi manfaat daripada kewujudan buaya. Itu adalah cabaran kerana orang ramai melihat reptilia itu sebagai satu masalah.

“Kami mahu orang ramai beranggapan bahawa buaya sebagai satu tarikan dan seperti rakyat di Australia dan Louisiana, Amerika Syarikat lakukan di mana mereka melihat reptilia itu sebagai sumber ekonomi,” ujarnya ketika ditemui pada Forum Buaya Borneo 2014 di sini semalam.

Forum itu dirasmikan oleh Pengerusi SFC, Datu Dr Yusoff Hanifah.

Sebanyak 24 kertas kerja dibentangkan pada forum berlangsung selama tiga hari dari 10 hingga 12 Jun.

Ali berkata, di Kuching kini terdapat beberapa syarikat telah mengusahakan taman buaya untuk dipertonton kepada orang ramai dalam pakej pelancongan mereka.

“Di Sibuti, terdapat satu pakej inap desa juga menawarkan pelayaran menjelajah sungai pada waktu malam untuk melihat buaya,” jelasnya.

Beliau juga berkata, mereka boleh mencontohi sebuah taman buaya di Langkawi, Kedah yang menyediakan pertunjukan buaya untuk para pengunjung.

“Di Sabah, terdapat res-toran yang menghidangkan daging buaya dan ini bermakna industri itu bukan sahaja untuk pelancongan tetapi juga terlibat dalam industri pemakanan melibatkan daging buaya,” tambahnya.

Pengerusi Kumpulan Pakar Buaya, Profesor Dr Grahame Webb turut menyampaikan topiknya berjudul ‘Management – Current Issues and Scenarios’ pada forum tersebut.

Advertisement