Anda di sini

Dua lelaki cuba pecah masuk rumah ditahan

Advertisement

BUTTERWORTH: Dua lelaki yang dipercayai aktif melakukan samun dan pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), berjaya ditahan semalam selepas cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Chai Leng, di sini.

Jurucakap polis berkata suspek berusia 28 dan  37 tahun itu ditahan oleh  penduduk taman berkenaan yang ternampak mereka masuk ke kawasan belakang sebuah rumah di situ kira-kira jam 2.15 petang.

“Penduduk berkenaan termasuk dua pengawal peribadi seorang lelaki yang kebetulan berada di situ mendapati dua suspek cuba membuka pintu  belakang rumah yang hendak dipecah masuk itu sebelum bertindak mengepung kawasan kediaman  berkenaan,” katanya di sini semalam.

Jurucakap itu berkata berlaku pergelutan antara penduduk dengan dua lelaki tersebut yang cuba menyerang dengan menggunakan pemutar skru dan pisau sebelum mereka berjaya ditahan.

“Dua suspek berkenaan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan berikutan mengalami kecederaan…mereka  dirawat sebagai pesakit luar kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Katanya dua lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetapi itu mempunyai beberapa  rekod jenayah lampau berkaitan samun, curi kenderaan, rompak dan dadah. — Bernama

Advertisement