Anda di sini

29 tinggal sehelai sepinggang

Advertisement

SERAMAI 29 orang termasuk 24 warga Indonesia tinggal sehelai sepinggang selepas kuarters pekerja 16 pintu di Batu 1, Kuala Baram, Miri musnah dalam kebakaran pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 9.15 pagi itu, semua mangsa sedang bekerja di sebuah kilang papan berhampiran.

Seorang saksi, Angela Wilson, 25, yang tinggal beberapa meter dari kuarters berkenaan berkata beliau ternampak api dari sebuah pintu kuarters terbabit ketika sedang sibuk menjemur kain di belakang rumahnya.

“Mula-mula saya ingat mungkin penghuni di situ membakar sesuatu, namun apabila api semakin marak, saya berlari pantas ke kilang papan untuk memaklumkan kejadian itu kepada pekerja di situ,” katanya ditemui semalam.

Mangsa kebakaran, Pauline Francis, 50, berkata, beliau tinggal sehelai sepinggang namun dokumen penting seperti MyKad terselamat kerana dibawa ke tempat kerja.

“Saya sudah bekerja di sini sejak 13 tahun lalu dan kini tinggal bersendirian di kuarters itu selepas suami saya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Mujurlah saya sentiasa membawa Mykad, itu sahaja benda yang terselamat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Bajai Linang, 56, memberitahu, beliau hanya sempat menyelamatkan tong gas dalam kejadian tersebut.

Menurut Bajai, dia turut bekerja seawal jam 7 pagi sehinggalah dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi.

“Saya sedang sibuk bekerja di dalam kilang dan tidak tahu apa yang berlaku (kebakaran) walaupun kuarters terletak hanya beberapa kilometer dari kilang.

“Apabila dimaklumkan mengenai kebakaran itu, saya terus meluru ke kuarters dan hanya sempat menyelamatkan tong gas kerana api marak terlalu pantas,” katanya.

Sementara itu, 11 pegawai Bomba dari Jabatan Penyelamat dan Kebakaran Balai Bomba Lopeng bersama dua enjin pemadam api dan sembilan lagi pegawai Bomba dari Balai Bomba Miri tiba di tempat kejadian sekitar jam 9.40 pagi selepas menerima laporan kira-kira jam 9.23 pagi.

Pasukan Bomba berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran kira-kira jam 9.55 pagi.

 

Advertisement