Anda di sini

Tiada rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Karachi

Advertisement

NEW DELHI: Tiada rakyat Malaysia yang terkandas di Jinnah International Airport, Karachi, berikutan serangan militan pada Ahad malam.

“Kami telah memeriksa dengan pihak berkuasa dan tiada rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang itu,” kata Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Abu Bakar Mamat.

Masyarakat Malaysia di Karachi diminta supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, katanya kepada Bernama menerusi telefon di sini semalam.

Setakat ini, semua penerbangan ditangguhkan, katanya.

Berikutan itu, rakyat Malaysia dinasihati supaya memeriksa dengan pejabat perwakilan itu sebelum membuat perancangan untuk melakukan perjalanan ke Pakistan, katanya.

Konsulat itu boleh dihubungi menerusi [email protected] atau twitter@myconsulkhi, kata Abu Bakar.

“Rakyat Malaysia juga boleh terus menghubungi saya melalui twitter@abubakarmamat,” katanya.

Menurut laporan, dalam pertempuran yang berlaku lebih enam jam membabitkan anggota militan dan tentera, sebanyak 26 orang terbunuh, termasuk 16 orang awam dan anggota keselamatan serta 10 militan.

Peluru hidup dan roket turut ditemui pada penyerang, menurut laporan yang memetik Tentera Pakistan.

Pegawai Pakistan juga mendakwa tiada kapal terbang yang musnah dalam serangan itu. — Bernama

Advertisement