Anda di sini

Sambutan Hari Pendidik hargai jasa warga KEMAS

Advertisement

ALOR GAJAH: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semalam mengadakan sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi menghargai jasa warga pendidik KEMAS dalam masyarakat.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sambutan julung kali diadakan itu memberikan pengiktirafan kepada lebih 11,000 guru Tabika KEMAS di seluruh negara yang banyak menyumbang dalam pembentukan asas kukuh anak-anak di peringkat prasekolah sehingga berjaya ke peringkat tertinggi.

“Selama ini, kita tidak ada hari guru walaupun kita sedar dan tahu bahawa Kemas banyak dirikan Tabika di seluruh negara.

“Dengan penganjuran (sambutan Hari Pendidik) ia merupakan cara dan besar ertinya bagi menghargai sumbangan yang diberikan tenaga pengajar KEMAS selaku pendidik yang menerapkan ilmu pengetahuan anak bangsa kita khususnya di luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan tersebut di Kem Permata Resort di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS Datuk Hassan Mohd Amin.

Mohd Shafie berkata masyarakat juga yakin dengan keupayaan KEMAS dalam mendidik anak-anak mereka berdasarkan permintaan terhadap pembukaan Tabika KEMAS.

Katanya sebanyak 1,000 buah Tabika KEMAS dibuka sepanjang tahun lepas sahaja bagi memenuhi tuntutan daripada akar umbi.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata pihaknya akan menambah baik sambutan Hari Pendidik pada masa depan bagi menjadikannya satu acara yang diiktiraf di peringkat nasional.

“Kita akan lihat waktu bersesuaian untuk sambutan ini dan kita akan tambah baik dari segi sambutan yang mana ia bukan pengiktirafan daripada kementerian sahaja tetapi kepimpinan negara,” katanya. — Bernama

Advertisement