Anda di sini

RTM sasar tiga juta penonton Piala Dunia FIFA 2014

Advertisement

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyasarkan sebanyak tiga juta penonton akan mengikuti setiap perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2014 yang bakal disiarkan menerusi TV1, TV2 dan TVi bermula Jumaat ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Mohd Ismail berkata RTM diberi hak menyiarkan sebanyak 35 perlawanan meliputi 24 siaran langsung dan 11 siaran tertunda dengan siaran berdefinisi tinggi sepanjang kejohanan itu.

“Kami berharap tiga juta penonton daripada lebih enam juta isi rumah yang bergantung kepada penyiaran tidak berbayar berpeluang menyaksikan secara langsung kejohanan yang ditunggu-tunggu segenap lapisan masyarakat di negara ini.

“Kami yakin, RTM berupaya menyiarkan secara langsung lebih banyak perlawanan berbanding pada temasya itu empat tahun lepas yang berjaya meraih dua juta penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara RTM dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi mempromosi ‘Rio To Malaysia’ sempena kejohanan itu di Angkasapuri di sini, semalam.

Pada majlis itu, RTM diwakili Norhyati manakala KTMB diwakili Presidennya Datuk Elias Kadir disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Menurut Norhyati, melalui kerjasama strategik itu, RTM akan memberi promosi operasi dan aktiviti KTMB melalui program Bicarawara dan Dokumentari Ringkas rancangan terbitan RTM.

Sementara itu, Elias berkata KTMB telah membantu mempromosikan RTM dengan menampal logo rasmi ‘Rio To Malaysia’ pada enam gerabak kereta api komuter yang melalui laluan Pelabuhan Klang, Angkasapuri dan Rawang sejak 2 Jun lalu.

“Empat gerabak telah dihiasi iklan visual ‘Rio To Malaysia’ bermula dua gerabak di bahagian hadapan kepala kereta api dan dua lagi di hujung ekor gerabak tersebut.

“Dua lagi gerabak di bahagian tengah akan diletakkan logo RTM dan KTMB,” katanya.

Elias berkata RTM mampu mencapai sasaran tiga juta penonton sempena perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2014 kerana hampir 150,000 penumpang menggunakan perkhidmatan kereta api KTMB setiap hari. — Bernama

Advertisement