Anda di sini

MH370: Permintaan ahli keluarga mahu bertemu PM akan dipenuhi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Permintaan keluarga penumpang Penerbangan MH370 untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan dipenuhi dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pertemuan itu akan diatur dan Malaysia berharap dapat mewujudkan carta kerja dalam menangani isu yang dibangkitkan anggota keluarga penumpang pesawat malang itu.

“Kami akan meneruskan penglibatan secara langsung kami dengan anggota keluarga terutama di Malaysia dan China. Kami juga ingin memberi pujian kepada usaha kerajaan China dalam menangani isu berkaitan keluarga ini.

“Kami memberi jaminan sepenuhnya kepada waris, walau di mana mereka berada, bahawa kami terus komited sepenuhnya dalam usaha mencari orang tersayang mereka,” kata beliau pada taklimat media berhubung usaha mencari dan menyelamat (SAR) di sini semalam.

Jailani berkata Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin yang mengetuai jawatankuasa waris akan berlepas ke Beijing dalam masa terdekat untuk memberi maklumat terkini kepada rakan sejawatan dari China mengenai usaha terbaharu di peringkat tiga pihak dan sumbangan Malaysia.

“Kami juga akan berbincang dengan pucuk pimpinan China mengenai pandangan dan rancangan masa depan mereka berhubung operasi mencari MH370 meliputi isu berkaitan anggota keluarga, kerahan aset dan kepakaran teknikal.

“Pasukan ini mempunyai mandat daripada perdana menteri untuk melibatkan diri sepenuhnya bersama kerajaan China,” kata beliau dan menambah ini susulan perbincangan oleh perdana menteri kedua-dua negara baru-baru ini untuk terus komited dalam misi pencarian.

Pesawat MH370 Malaysia Airlines bersama 239 orang dalam pesawat hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan ke Beijing. Analisis oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit merumuskan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi tetapi bangkai pesawat malang itu belum dijumpai.

Jailani juga mengulangi komitmen Malaysia untuk meneruskan operasi mencari sehingga semua kawasan yang berkemungkinan diliputi dalam operasi mencari dan akan berusaha mengkaji semua opsyen untuk menjejaki pesawat.

Mengenai lawatan empat jawatankuasa kecil ke Canberra, Australia, hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata objektif utama lawatan ialah mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai analisis semula data belum diproses yang telah siap dan keputusan analisis kajian bathymetric.

“Pakar-pakar di Australia, terdiri daripada pasukan Australia dan Malaysia di Canberra, telah menjalankan analisis dan sekarang dalam proses untuk bertukar-tukar nota dengan Inmarsat,” kata beliau.

Beliau bagaimanapun berkata hasil perbincangan antara pasukan pakar dan Inmarsat tidak dapat didedahkan sehingga lebih banyak maklumat mengenai analisis diperoleh. — Bernama

Advertisement