SHAH ALAM: Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dengan persembahan anak didiknya yang berjaya mempersembahan aksi cemerlang untuk menjulang Piala FA 2014 malam kelmarin.
Beliau berkata, dua gol kemenangan tersebut amat penting bagi membolehkan skuad Tok Gajah sekali lagi muncul sebagai johan piala berprestij itu selepas kali pertama memenanginya pada 2006.
Pahang muncul juara Piala FA 2014 selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas pasukan berstatus kelab, Felda United FC di Stadium Shah Alam.
Zainal Abidin mengakui bahawa pasukan ‘Tok Gajah’ lambat panas’ apabila ketinggalan 0-1 pada aksi 30 minit pertama.
“Saya memang akui mereka (pemainnya) tidak bermain permainan biasa apabila banyak membuat hantaran jauh sehingga membolehkan Felda United mendahului permainan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Bagaimanapun, beliau berbangga apabila pemain simpanan yang dibawa masuk pada minit ke-69, Mohd Faizol Hussain mengembalikan harapan Pahang untuk menjulang Piala FA apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-79.
Katanya, ini membuktikan semua pemain bermain baik dan setiap pemain memberi kerjasama sehingga membolehkan mereka sekali lagi menjulang Piala FA. — Bernama