Anda di sini

Pertandingan Lalu Lintas Shell membuka tirainya di Mukah

Advertisement

BERHATI-HATI: Aksi dua orang peserta pertandingan Lalu Lintas Shell di Mukah, Sabtu lalu.

SARAWAK Shell Berhad (Shell) memulakan Pertandingan Lalu Lintas Shell (STG) siri pertamanya di pekan Mukah, yang berlangsung pada Sabtu lalu, dengan 160 pelajar daripada 10 buah sekolah dari bahagian tersebut, menyertainya.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian yang baharu, Yusibnosh Balo dan turut dihadiri oleh Pengurus Kanan Komunikasi (Upstream) Shell Malaysia, Peing Tajang.

Berucap di majlis perasmiannya, Peing memberitahu Shell komited ke arah menjalin kerjasama dengan rakan kongsi untuk mewujudkan kesedaran lebih besar mengenai keselamatan jalan raya di kalangan anak-anak muda yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan rakan kongsi jangka panjang dalam kemajuan di negeri Sarawak, Shell telah melabur dalam STG selama lebih 50 tahun untuk menyemai dan memupuk kesedaran keselamatan jalan raya di muda.

“Matlamat utama program ini adalah untuk mengurangkan kemalangan dan kematian dengan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya di kalangan peserta yang datang dari sekolahsekolah di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Shell berbangga kerana telah berjaya mendidik beribu-ribu anak muda mengenai keselamatan jalan raya di negeri ini sejak ia dilancarkan pada tahun 1963 di Sarawak.

“Kami berharap bahawa pelaburan sosial ini akan membuahkan hasil dan menjadikan mereka sebagai pengguna jalan raya yang lebih selamat dan akhirnya mengurangkan kecederaan jalan raya serta kadar kematian akibat kemalangan jalan raya,” tambahnya.

Bagi menjadikan STG terus relevan dengan trend masa kini dan cabaran-cabaran yang ada, Peing menjelaskan bahawa Shell akan melihat cara-cara untuk meningkatkan pertandingan tersebut secara berterusan, sambil menekankan bahawa keselamatan jalan raya adalah tumpuan utama dalam program tanggungjawab sosial korporat Shell.

Katanya, tahun lepas Shell menjalankan kajian keberkesanan dan kaitannya dengan meningkatkan lagi STG.

Mereka melihat cadangan yang dicadangkan daripada kajian dan akan mempertimbangkannya secara berperingkat.

“Kami memperuntukkan lebih RM1 juta setiap tahun untuk melaksanakan pertandingan trafik ini di seluruh negara. Bagi Sarawak, kita memperuntukkan lebih RM300,000 pada setiap tahun untuk STG,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers telah diumumkan sebagai juara bagi kategori sekolah menengah, manakala Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan SMK Mukah masing-masingnya di tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Dua Sungai muncul juara, sementara SK Mukah dan SK Datu Awang Udin mendapat tempat kedua dan ketiga masing-masingnya.

SMK Three Rivers dan SK Dua Sungai akan mewakili Bahagian Mukah ke pusingan akhir peringkat negeri di Kuching pada bulan Oktober tahun ini.

Purata kira-kira 3,000 pelajar di negeri ini telah menjadi duta untuk keselamatan jalan raya dan sebagai alumni STG setiap tahun.

Program ini dijalankan di setiap bahagian di Sarawak dan kemuncaknya ialah pertandingan akhir peringkat negeri di mana sekolah-sekolah dari setiap bahagian akan berentap untuk merebut juara.

Manakala juara peringkat negeri kemudiannya akan mewakili Sarawak pada pusingan akhir peringkat kebangsaan untuk bersaing dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.

STG dijalankan di setiap negeri di Semenanjung Malaysia, di setiap daerah di Sabah dan Sarawak dengan purata lebih 20,000 orang pelajar setahun dari seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam program ini.

Advertisement