Anda di sini

Pencapaian atlet muda Sarawak membanggakan: Lee

Advertisement

KUCHING: Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berbangga dengan pencapaian atlet muda Sarawak kerana mereka merupakan sandaran untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 dan kejohanan lain.

Beliau berkata, penerjun muda Tracia Irene Erik dan Kimberly Bong melakukan kejutan apabila meraih pingat perak platform berirama wanita.

“Tracia baharu berusia 10 tahun, manakala Kimberly, 12, dan saya rasa mereka menunjukkan persembahan terbaik memenangi pingat perak serta mengalahkan lawan lebih berusia,” katanya.

Lee percaya dua tahun akan datang apabila Sarawak menjadi hos SUKMA XIX, dua penerjun itu akan menunjukkan prestasi lebih cemerlang meraih pingat emas.

Atlet muda lain termasuk Grace Wong dari SM Tinggi Sarikei berusia 14 tahun mengalahkan lapan lawan lain, termasuk rakan sepasukan, Casier Renee memenangi acara baling tukul besi.

Grace turut melakar rekod baharu dengan 55.82m memadamkan rekod lama 50.69m milik Tan Song Hwa dari Pahang pada SUKMA Terengganu 2008.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee turut melahirkan rasa bangga dengan komitmen, semangat juang dan disiplin tinggi ditunjukkan atlet negeri di Perlis.

Beliau menggesa persatuan sukan memulakan persiapan untuk SUKMA 2016 yang mana Sarawak mensasarkan muncul juara.

“Kita tidak boleh hentikan program latihan tetapi teruskan latihan untuk atlet sehingga 2016,” katanya.

Lee juga mahu semua persatuan sukan yang terlibat dengan SUKMA XVII melakukan ‘bedah siasat’ pencapaian masing-masing dan merangka pelan untuk SUKMA 2016.

Advertisement