Anda di sini

Pasukan badminton Sarawak perlu berusaha lebih gigih

Advertisement

MIRI: Sarawak perlu berusaha lebih gigih dalam persediaan bagi acara badminton menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 nanti.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata acara itu setakat ini masih belum menampakkan apa-apa usaha yang berbaloi kerana kontinjen negeri belum dapat meraih kilauan emas bagi acara itu.

“Kita belum ada lagi pingat emas dalam acara badminton SUKMA dari tahun-tahun lalu dan juga tahun ini,” katanya pada penutupan bengkel badminton bersama bekas jurulatih badminton kebangsaan, Yap Kim Hock di Tung Sport Club (TSC), Pujut petang Jumaat lalu.

Menurutnya, salah satu daripada keperluan dalam acara berkenaan adalah jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman.

Katanya, mempunyai jurulatih terbaik adalah salah satu bentuk pelaburan yang beliau percaya memulangkan hasil lumayan suatu ketika nanti dan harapan besarnya adalah ketika Sarawak menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar tanah air nanti pada 2016.

“Kita perlukan jurulatih berpengalaman dalam arena ini untuk berjaya, namun harus mempunyai pemain-pemain yang berbakat juga,” katanya sambil menambah untuk mencungkil bakal memerlukan peringkat kejohanan serta perlawanan yang terbaik.

Sebelumnya, Kim Hock memberitahu dalam bengkel yang bermula pada 2 hingga 6 Jun itu, beliau memerhatikan seorang pemain muda iaitu budak perempuan yang berbakat.

“Saya dapat lihat kesungguhannya dan memang berbakat, saya harap pada suatu hari nanti beliau bakal menyinar,” kata Kim Hock ketika ditanya mengenai bengkel sepanjang lima hari itu.

Sementara itu, beliau turut meletakkan harapan untuk terlibat dalam banyak bengkel seumpama di negeri ini bagi mencungkil bakat-bakat baharu.

“Saya juga berharap dapat mengadakan bengkel serupa di seluruh Sarawak bagi mengenal pasti bakat-bakat muda,” tambahnya.

Pemilik Tung Sport Sdn. Bhd. Albert Lau Tee Tung pada masa sama berbangga kerana dapat mengadakan bengkel seperti itu dan beliau berharap lebih ramai pemain muda mengikutinya pada masa akan datang.

“Saya berharap dapat menganjurkan bengkel seumpama ini lagi dan mendapat lebih ramai penyertaan khususnya di kalangan golongan muda,” katanya.

Pada sebelah malam, TSC turut mengadakan satu perlawanan amal untuk didedikasikan kepada Pusat Dialisis Miri.

Advertisement