SIBU: Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dengan kerjasama MAKSAK Bahagian Sibu menganjurkan Larian Belia Merdeka Zon Tengah di Sibu Jaya pada 28 Jun ini.
Menurut kenyataan akhbar semalam, penganjuran acara larian tersebut sempena Pesta Sibu Jaya 2014.
Larian itu turut dianjurkan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) merangkumi penyertaan dari Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah dan Betong.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka (terbuka kepada peserta berusia 19 hingga 44 tahun) dengan jarak larian sejauh lapan kilometer.
Kategori Lelaki Bawah 18 Tahun dan Wanita Bawah 18 Tahun (terbuka kepada peserta berusia 13 hingga 18 tahun) dengan jarak larian sejauh enam kilometer.
Sementara itu, Kategori Lelaki Veteran 45 Tahun Ke Atas dan Wanita Veteran 45 Tahun Ke Atas dengan jarak larian sejauh enam kilometer.
Johan kategori Lelaki dan Wanita Terbuka masingmasing bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 bersama medal dan sijil.
Naib johan (RM800, medal dan sijil), tempat ketiga (RM600, medal dan sijil), tempat keempat (RM400 dan sijil) dan tempat kelima (RM200 dan sijil).
Manakala, pemenang tempat keenam hingga kesepuluh bagi kedua-dua kategori tersebut akan mendapat hadiah berupa wang tunai RM80 bersama sijil.
Bagi kategori Lelaki dan Wanita Bawah 18 Tahun serta Veteran Lelaki dan Wanita 45 Tahun Ke Atas, johan akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM800, medal dan sijil.
Naib johan (RM600, medal dan sijil), tempat ketiga (RM400, medal dan sijil), tempat keempat (RM200 dan sijil) dan tempat kelima (RM100 dan sijil).
Manakala, pemenang tempat keenam hingga kesepuluh bagi keempat-empat kategori tersebut akan mendapat hadiah berupa wang tunai RM60 bersama sijil.
Penganjuran larian itu untuk menggalakkan lebih ramai belia zon tengah Sarawak menceburi aktiviti bersukan untuk kekal sihat dan cergas sepanjang masa.
Tarikh tutup penyertaan pada 23 Jun ini.
Borang penyertaan lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke pejabat KPS Bahagian Sibu melalui faks ke 084-316243, email kepada joefs@sarawak.gov.my atau datang sendiri ke Stadium Tun Zaidi Sibu di Jalan Lapangan Terbang Lama Sibu.
Acara larian dijadual dilepaskan secara serentak bagi semua kategori jam 7 pagi di Tapak Pesta Sibu Jaya.
Acara perlepasan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee.
Para pemenang bagi tempat pertama hingga ke sepuluh akan dipilih mewakili Zon Tengah ke acara Larian Belia Merdeka Peringkat Negeri dijadualkan berlangsung di pekarangan Dewan Undangan Negeri lama di Kuching pada 31 Ogos ini.