Anda di sini

Faradilah teruja disambut dengan majlis kesyukuran

Advertisement

BETONG: Satu majlis kesyukuran dianjurkan bagi meraikan kejayaan anak jati Kampung Bungin Saribas, Faradilah Raznie yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara 800 meter wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis.

Majlis kesyukuran itu anjuran penduduk Kampung Bungin dan dihadiri lebih 100 penduduk yang turut diserikan dengan kehadiran Penghulu Kampung Bungin, Seliman Bujang dan ketua-ketua kaum.

Faradilah ketika dihubungi memberitahu, beliau begitu terkejut dengan majlis yang dianjurkan semasa ketibaannya di Kampung Bungin dari Kuching malam kelmarin.

“Kejayaan ini tidak dapat saya capai tanpa sokongan semua pihak yang selalu berada setia di belakang saya khasnya ibu bapa, keluarga, teman seperjuangan serta penduduk Kampung Bungin yang sentiasa menyokong saya.

“Terima kasih tidak terhingga kerana penganjuran majlis kesyukuran ini diadakan untuk bersama-sama berkongsi berkat.

“Kejayaan yang saya perolehi ini bukan alasan untuk saya mendabik dada. Sebaliknya menjadi penanda aras untuk saya berusaha keras demi yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bungin Baha Suhaili memberitahu penganjuran majlis tersebut adalah sebagai pembakar semangat kepada anak-anak muda dan belia Kampung Bungin yang lain untuk menempa kejayaan tidak kira dalam apa juga bidang yang diceburi.

“Kita berasa sungguh berbangga dengan kejayaan Faradilah dan ini merupakan cara kita untuk menghargai jasanya mengharumkan nama Kampung Bungin dan Sarawak khasnya.

“Kita berharap Faradilah akan terus berusaha bersungguh- sungguh dan mencapai cita-citanya bukan hanya di Malaysia, malah berjaya ke persada dunia,” katanya.

Advertisement