Oleh Harry Ilias //
Duduki tempat ketiga dengan meraih 48 emas, 32 perak dan 35 gangsa pada SUKMA VXII
KUCHING: Kejayaan kontinjen Sarawak menduduki tempat ketiga pada SUKMA XVII Perlis yang melabuhkan tirainya pada 4 Jun lalu mendapat pujian Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
Katanya, pencapaian kontinjen negeri kali ini semakin baik setelah berjaya memunggut 48 pingat emas, 32 perak dan 35 gangsa sekalipun gagal mencapai sasaran 55 pingat emas.
“Dengan kejayaan kutipan 48 emas, tidak mustahil bagi kontinjen Sarawak menjuarai SUKMA yang akan datang dan seterusnya,” katanya dalam teks ucapan dibacakan oleh Menteri Muda Sukan merangkap Ketua Kontinjen Datuk Lee Kim Shin pada Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak di sini malam kelmarin.
“Tahniah kepada semua atlet yang berjaya menyumbang pingat untuk Sarawak. Bagi yang tidak berjaya, saya percaya mereka telah memberikan yang terbaik namun perlu terus meningkatkan usaha bagi menyahut cabaran akan datang,” katanya.
Adenan turut merakamkan tahniah kepada atlet Sarawak yang berjaya memecahkan rekod kejohanan terutama atlet angkat berat, Jelinie Empera yang ditabalkan Olahragawati Terbaik.
“Saya menyarankan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) membuat ‘post mortem’ bersama persatuan sukan dan pakar bagi mengenal pasti kelemahan dan prestasi keseluruhan atlet, pegawai dan persatuan sebagai persediaan menghadapi SUKMA akan datang,” tambahnya.
Beliau berharap insentif yang diberikan akan menyemarakkan semangat para atlet terus gigih berlatih dan berjaya.
Sejumlah RM437,750 dibayar kepada atlet-atlet yang berjaya memenangi pingat dengan Jelinie Empera menerima insentif terbanyak berjumlah RM22,000 setelah memenangi dua pingat emas termasuk memperbaharui dua rekod lama.
Insentif yang dimenangi atlet kelahiran Miri itu termasuk insentif tambahan berjumlah RM5,000 daripada kerajaan negeri dan RM3,000 dari Majlis Sukan Negara (MSN) setelah beliau ditabalkan Olahragawati Terbaik pada temasya SUKMA kali ini.
Sementara itu, kontinjen renang mengekalkan tradisi muncul penerima insentif terbesar berjumlah RM92,500 setelah menggondol sembilan emas, lima perak dan tiga gangsa disusuli tenpin boling meraih RM72,250 dengan enam emas, lima perak dan dua gangsa.
Wushu dengan lima emas, lima perak dan enam gangsa menerima RM26,750, sementara olahraga juga dengan lima emas, tiga perak dan lima gangsa menerima RM29,750.
Penerima insentif lain terma suk skuad t aekwondo (RM22,250), tenis (RM38,500) , petanque (RM5 2 , 0 0 0 ) , mema – nah (RM28,250), angkat berat (RM14,750), pencak s i lat (RM23,000) , terjun (RM20,000), tinju (RM6,000) , skuas y (RM7,000), boling padang (RM21,000), karate-do (RM2,750) dan berbasikal (RM1,000).
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PSNS) Dr Ong Kong Swee, Pemangku Pengarah MSN Lucas Kalang Laeng, Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Ketua Kontinjen Affandi Keli dan Penolong Ketua Kontinjen. Datuk Azman Samaon.