Anda di sini

Peranan jururawat penting sepanjang zaman

Advertisement

Oleh Rohaniah Sahrin //

ALBUM: Para jururawat merakamkan kenangan bersama Dr Osman (barisan kedua, tengah) dan yang lain semasa sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital Mukah di Mukah baru-baru ini.

DALAM era globalisasi peranan jururawat masih diperlukan dalam memberi penjagaan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Hari ini jururawat bukan sekadar merawat pesakit semata-mata akan tetapi turut memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan padu kepada mereka (pesakit),” menurut Penyelia Jururawat Hospital Mukah Maimunah Abd Majid.

Berucap pada sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital Mukah di Mukah baru-baru ini, beliau berkata jururawat merupakan orang yang paling dekat dengan pesakit dan selain memberi rawatan, jururawat juga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan dari segi semangat, emosi mahupun fi zikal.

Sambutan Hari Jururawat yang jatuh pada 12 Mei setiap tahun bertemakan ‘A force to change, a vital resource for health’ itu disambut oleh semua jururawat di seluruh dunia.

RASMI: Dr Osman merasmikan sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital Mukah.

Perasmian ringkas telah dilakukan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr Osman Rafaie.

Maimunah dalam ucapannya turut menggesa para jururawat agar terus berganding bahu, serta mengamalkan sikap kerja berpasukan dalam menjalankan tugas yang dipikul.

“Sama ada kita (jururawat) dari hospital atau kesihatan mahupun pergigian, adalah penting untuk kita sama-sama berganding bahu bagi memastikan matlamat kita tercapai”.

“…oleh itu, marilah kita sama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik serta menjalanan tugas yang diamanahkan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada setiap jururawat agar mengambil inisiatif dengan menghadiri kursus-kursus atau seminar ke arah mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan sejajar dengan perubahan global.

Beliau dalam ucapannya juga berkata, antara lain penganjuran sambutan yang diadakan pada kali ini adalah sebagai menghargai pengorbanan yang diberikan oleh para jururawat di samping mengeratkan lagi hubungan di kalangan semua.

“Dengan adanya perhimpunan dan sukaneka yang diadakan ini diharap dapat memberikan hiburan sekali gus menghilangkan tekanan di kalangan kita semua (jururawat),” ujarnya.

Selain penyertaan di kalangan jururawat peringkat hospital, ianya turut disertai oleh jururawat di bahagian kesihatan dan pergigian.

MERIAH: Penyertaan kanak-kanak turut memeriahkan lagi sambutan Hari Jururawat.

Advertisement