Anda di sini

Jelinie belum letak noktah dalam karier angkat berat

Advertisement

KUCHING: Penerima insentif terbanyak, Jelinie Empera belum meletakkan noktah dalam karier angkat berat sekalipun dinobatkan Olahragawati Terbaik pada SUKMA XVII di Perlis.

Jelinie ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak di sini malam kelmarin berkata, beliau menunggu panggilan daripada skuad kebangsaan untuk meneruskan kariernya di pentas antarabangsa.

“Saya berhasrat untuk mewakili Malaysia pada Sukan Asia dan Sukan SEA. Itupun jika terpilih untuk mewakili negara,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu sambil memberitahu akan meneruskan latihan seperti biasa di Sibu.

“Ketika bersekolah di SMK Bakong Miri, saya pernah menyertai acara olahraga iaitu melempar cakera dan lontar peluru sebelum terlibat dalam acara angkat berat.

“Saya mengikut nasihat cikgu menceburkan diri dalam sukan angkat berat setelah beliau melihat saya lebih berpotensi dalam acara tersebut,” tambahnya.

Beliau juga belum mempunyai perancangan dengan wang insentif yang dimenanginya namun akan memastikan digunakan dengan sebaik mungkin.

Jelinie ditabalkan Olahragawati Terbaik setelah merangkul dua emas dalam acara snatch dan clean & jerk wanita dengan angkatan seberat 85kg dan 107kg.

SUKMA XVII juga menjadi pentas terakhir Jelinie kerana beliau telah berusia 21 tahun.

Advertisement