Anda di sini

FAS bayar denda RM351,000 akibat salah laku penyokong

Advertisement

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) membayar sejumlah RM351,000 sebagai denda atas salah laku penyokong yang menyaksikan perlawanan bola sepak dari 2012 hingga 2014.

Presidennya, Datu Sudarsono Osman berkata daripada jumlah itu, membakar suar atau ‘flare’ menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah denda tersebut.

“Kita amat menghargai sokongan para penyokong yang menjadi nadi kejayaan pasukan bola sepak Sarawak selama ini.

“Namun, pada masa yang sama mereka juga harus mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Naib Presiden FAS Haidel Heli, Razali Dolhan dan Setiausaha Agungnya, Abdullah Julaihi semalam.

Sudarsono yang juga Naib Presiden FAM berkata, adalah lebih baik jika denda yang dikenakan itu digunakan untuk merancakkan program pembangunan bola sepak negeri.

“Bagi FAS, saya meminta kerjasama para penyokong agar tidak lagi membakar suar atau mercun di stadium kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan penonton lain namun turut mendatangkan masalah kepada persatuan.

“Justeru, kita menjemput wakil para penyokong untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa penganjur supaya kita tahu apa yang mereka mahukan,” tambahnya.

Katanya, FAS juga akan memperketat laluan di pintu masuk stadium semasa baki perlawanan Liga Malaysia di sini bagi memastikan tiada barangan terlarang dibawa masuk ke dalam stadium.

Sarawak akan menentang T-Team di Stadium Negeri pada 10 Jun ini.

Ketika ini, skuad Ngap Sayot menduduki tangga ketujuh Liga Super dengan mengutip 25 mata.

Advertisement