Anda di sini

32 pasukan bersaing rebut Piala Fadillah

Advertisement

KUCHING: Sebanyak 32 pasukan dari Sarawak termasuk empat dari Semenanjung Malaysia menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Fadillah Yusof berlangsung dua hari bermula semalam di Pusat Beli-Belah Hill di sini.

Kejohanan itu merupakan anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawakm (SABERKAS) Satok dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Kelab EJok Kuching.

Dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata penganjuran kejohanan julung kali itu diharap dapat menarik lebih ramai golongan muda khasnya belia berbilang kaum berkunjung ke situ untuk mengenali lebih dekat sukan sepak takraw.

“Saya selaku penaung mengucapkan terima kasih kepada semua terlibat dalam menjayakan kejohanan ini termasuk empat pasukan dari Semenanjung Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan peserta tahun ini sebanyak 32 pasukan.

“Kita berasa sungguh berbangga dengan penyertaan yang diterima dan kita berharap penyertaan ini serta penganjuran di pusat beli-belah ini dapat mencapai objektif yang diharapkan,” katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, sukan sepak takraw yang dahulunya hanya dipelopori oleh masyarakat Melayu dan Bumiputera sahaja kini semakin diminati dan semakin popular di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Ini mencerminkan aktiviti sukan boleh dijadikan wahana perpaduan serta medan untuk menjalinkan semangat kerjasama pelbagai kaum di negara ini.

“Justeru, saya berharap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan kerjasama SABERKAS dapat meningkatkan usaha melibatkan masyarakat berbilang kaum khasnya masyarakat Cina dalam sukan sepak takraw ini,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi SABERKAS Satok Muhammad Abdullah Zaidel berkata pertandingan edisi ketiga ini merupakan julung kali diadakan di pasar raya.

Menurutnya, dua tahun sebelum ini ia diadakan di Stadium Perpaduan di sini dan berharap penganjuran kejohanan kali ini dapat mengeratkan hubungan antara setiap pasukan yang bertanding.

“Juara kejohanan kali ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta piala iringan diikuti naib johan dengan RM1,000 serta piala iringan dan tempat ketiga bersama membawa pulang masing-masing RM500 dan piala iringan,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden PSM, Datuk Paruwadi Musa dan Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Sosial, Bujang Budin.

Pasukan yang berentap ialah E-Jok,Telaga Air, Stakan, Ragarotan, Sukma, Sri Keranji, Flyboyz, Kapcai, Utusan Sarawak, KBB, Sekama dan Telaga Air.

Untuk itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai di Pusat Beli-Belah Hill pada jam 11.30 pagi hari ini (8 Jun) untuk menyaksikan pasukan mana yang bakal merangkul Piala Fadillah 2014.

Advertisement