Anda di sini

SUPP cari calon baharu BN di kerusi Engkilili

Advertisement

SRI AMAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang akan dicadangkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Peringkat Pusat untuk dipersetujui oleh Pengerusi BN Negeri dan Pusat.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata, Engkilili merupakan salah satu kerusi milik SUPP dan wakil rakyat bagi kerusi berkenaan iaitu Dr Johnical Rayong Ngipa bertindak menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TEGAS).

Katanya, SUPP kini sedang giat mencari calon-calon berpotensi untuk dicadangkan bagi mengisi kerusi SUPP di Engkilili sebelum nama calon tersebut dihantar ke SUPP Pusat dan seterusnya dipersetujui Ketua Menteri dan Perdana Menteri.

Berikutan itu, beliau diberi tanggungjawab oleh SUPP Pusat membantu SUPP Engkilili mencari premis baharu untuk ruang pejabat dan mendirikan papan tanda baharu bagi SUPP Cawangan Engkilili.

“Kita menyewa sebuah premis baharu pejabat SUPP di sini dan majlis pembukaan pejabat baharu dihadiri Setiausaha Agung SUPP Pusat, Senator Profesor Dr Sim Kui Hian pada 1 Jun lalu,” katanya di sini.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang selaku Pengerusi SUPP Simanggang berkata, dengan pembukaan pejabat baharu itu memberi perkhidmatan kepada rakyat serta pengundi di kawasan terbabit sebagai persiapan menghadapi PRN yang dijadualkan pada 2016.

Bukan setakat itu sahaja, pembukaan pejabat baharu itu dapat menyediakan ruang kepada semua komponen BN di Engkilili mengadakan aktiviti untuk persediaan menghadapi PRN 2016 dan seterusnya dapat merapatkan kerjasama mengekalkan kerusi BN di Engkilili.

Advertisement