Anda di sini

Royalti: Adenan gembira kerajaan pusat sedia runding

Advertisement

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem melahirkan rasa gembira kepada kerajaan persekutuan yang terbuka untuk berunding mengenai permohonan meningkatkan royalti minyak dan gas kepada Sarawak.

Beliau pada masa yang sama turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersedia berunding mengenai perkara berkenaan.

“Bagaimanapun ia bukan hanya berkait dengan royalti minyak tetapi berapa banyak (jumlah) kerajaan negeri akan dapat daripada industri ini, ia boleh dipanggil apa sahaja sama ada royalti minyak, ekuiti atau apa sahaja, asalkan jumlah (yang dipohon) sama.

“Seperkara lagi tujuan semua ini adalah untuk meningkatkan perolehan daripada industri minyak dan gas kepada Sarawak dan membuka peluang ekonomi kepada rakyat dengan terlibat secara langsung dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena 100 hari menjadi Ketua Menteri di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Katanya, dengan itu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan pusat dan mereka terbuka mengenai perkara berkenaan dan beliau percaya ia berjaya sekiranya permohonan dipersetujui.

“Ini kerana kerajaan pusat adalah kerajaan Barisan (Nasional) dan kerajaan negeri juga kerajaan Barisan, maka itu saya percaya perkara ini dapat dicapai.

“Berbanding jika kita (kerajaan negeri) adalah kerajaan pembangkang, saya tidak berasakan kerajaan pusat akan mendengar kita,” katanya.

Adenan menegaskan dengan kenaikan perolehan minyak itu nanti, ia akan memberi manfaat lebih tinggi daripada pembangunan perbelanjaan biasa.q

Advertisement