Anda di sini

Rakyatlah paling sesuai menilai pencapaian: KM

Advertisement

KUCHING: Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata beliau bukan orang yang sesuai untuk bercerita tentang pencapaian atau kejayaan diraihnya selama menjadi Ketua Menteri.

Sebaliknya, rakyat merupakan pihak yang sesuai menilainya sambil berkata 100 hari menjawat jawatan itu adalah tempoh singkat untuk mengukur pencapaian seseorang pemimpin.

“Selepas saya dilantik, saya melihat dasar-dasar kerajaan sebelum ini adalah amat baik dan bergerak ke hadapan.

“Saya mungkin ada idea saya sendiri tetapi itu boleh tunggu kerana apa yang penting kini adalah meneruskan dasar yang sedang kita lakukan kini,” katanya pada sidang media sempena 100 hari menjadi Ketua Menteri di sini, semalam.

Adenan berkata, Sarawak kini jauh membangun berbanding 30 tahun lalu, di mana pada satu ketika dahulu 70 peratus daripada negeri ini adalah kawasan luar bandar sementara 30 peratus bandar.

Namun kini, ujarnya, nisbah penduduk bandar dan luar bandar hampir sama iaitu 50-50 sementara paras kemiskinan kini lebih rendah berbanding sebelum merdeka.

“Malahan trend ini akan berterusan apabila kita sampai ke peringkat di mana Sarawak akan menjadi lebih bersifat perbandaran daripada kedesaan (luar bandar).

“Ini disebabkan oleh keadaan ekonomi. Kita tidak boleh menyalahkan orang jika mereka mahu mencari peluang di bandar.

“Ini kerana di bandar ada lebih banyak peluang namun ia tidak menggambarkan perbezaan antara kedua-duanya cuma berlaku jurang yang harus kita rapatkan sebanyak mungkin,” katanya.

Adenan pada masa sama yakin negeri ini mampu mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Tambah beliau, dengan sokongan penuh daripada kerajaan persekutuan, Sarawak kini berada di landasan yang betul untuk mencapai status berkenaan.

“Saya berasakan kita sedang dalam perjalanan ke arah itu tetapi pada masa yang sama masih terdapat masalah yang perlu kita selesaikan sepanjang perjalanan ini. Kita mampu mencapai sasaran tetapi ia mengambil masa,” katanya.

Advertisement