Anda di sini

Rakyat diingat menggunakan peruntukan MRP dengan bijaksana

Advertisement

MIRI: Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin mengingatkan rakyat agar menggunakan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang disediakan kerajaan dengan bijaksana.

Beliau berkata, geran tersebut disediakan bagi menambah dana penerima untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk penduduk setempat.

“Penerima harus bijak menggunakan peruntukan yang diberikan dan memiliki semangat komuniti menggunakan peluang yang diberikan kerajaan dengan mengadakan aktiviti manfaat kepada ahli dan masyarakat sekeliling,” katanya pada majlis penyerahan MRP kepada 14 buah organisasi di sini semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, kebaikan akan terus dicapai sekiranya masyarakat saling bekerjasama dan bersatu padu dalam melakukan setiap aktiviti yang dianjurkan.

Ujar beliau, kerajaan tidak pernah berbelah bahagi dan tidak mengira bangsa atau agama dalam membantu pembangunan sesebuah organisasi tersebut.

“Apa yang baik untuk kita, kerajaan akan sentiasa menyokong dan membantu. Oleh itu, kita juga perlu berganding bahu dan saling menyokong antara satu sama lain dalam penganjuran aktiviti selain merapatkan silaturahim serta bersama membantu membangunkan kemajuan di sini.

“Bahkan, setiap organisasi turut memainkan peranan masing-masing dalam menarik orang luar mengenali budaya kita yang kaya dengan pelbagai etnik,” tambahnya.

Sementara itu, geran MRP berkenaan disampaikan kepada wakil penerima pada majlis ringkas di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin.

Penerima geran tersebut ialah Kelab Muzik Galaxy, Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Lutong-Tudan Miri, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Lusut Ocean, Rainbow Chorus Miri, Sidang Injil Borneo (SIB) Senadin Miri dan Klan Zhang Miri.

Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bahagian Miri, Miri Chee Lee Khor Moral Uplifting Society, Jawatankuasa Rukun Tetangga Kawasan Kuala Baram, Persatuan Klan Yap Miri, Pertubuhan Kebajikan Islam Cawangan Miri, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Hilltop Miri, Miri Mobile Phone Dealers Association dan Kelab Sosial & Kebajikan Harmoni Miri.

Advertisement