Anda di sini

Pengaruh filem, mahu dilihat popular antara faktor buli pelajar

Advertisement

KUCHING: Pengaruh filem dan mahu dilihat popular mungkin antara faktor yang mendorong segelintir pelajar sekolah sanggup melakukan buli biarpun sedar ia merupakan kesalahan.

Selain itu, peraturan yang tidak ketat di sekolah sehingga menyebabkan pelajar bebas membawa telefon bimbit juga antara faktor berlakunya kejadian buli di sekolah.

Ini kerana apabila membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka mungkin terdorong untuk melakukan buli dan kemudiannya dirakam.

Menurut Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Jisin Nyud, gejala buli di kalangan pelajar sekolah mungkin dipengaruhi filem atau Internet sehingga menyebabkan mereka sanggup melakukan tindakan sedemikian.

“Mereka juga akan berasa popular apabila gejala buli yang dilakukan dimuat naik ke media sosial,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden buli yang berlaku di sebuah sekolah di Asajaya melibatkan pelajar perempuan yang dimuat naik ke laman sosial.

Dalam video berdurasi seminit 17 saat itu, pelajar perempuan yang merakamkan insiden terbabit turut memperkenalkan dua rakannya sebagai ‘gengster’ dan ‘kak yong’ selain memanggil dirinya sebagai ‘pailang’ bermaksud samseng.

Sehubungan itu, Jisin mahu pihak sekolah mengetatkan peraturan agar setiap pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit.

“Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan pekeliling yang mana pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah,” ujarnya.

Insiden yang berlaku di Asajaya itu, menurutnya, amat mengejutkan kerana melibatkan pelajar perempuan.

“Biarpun ia merupakan kes terpencil namun ia perlu dipandang serius. Ibu bapa perlu memainkan peranan kerana segala-gala bermula dari rumah dan mereka (pelajar) perlu terus diterapkan dengan nilai kerohanian,” jelasnya.

Bagi Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie, Kementerian Pendidikan dan polis perlu menjalankan siasatan berhubung kes buli secara holistik untuk mengetahui punca sebenar ia berlaku.

“Kita (KGBS) tidak mahu melihat kes seumpama ini (buli) berulang sehingga menjadi trend kepada segelintir pelajar termasuk menyalah guna media sosial untuk memaparkan aksi ganas,” kata Ahmad.

Beliau berharap pelajar yang terlibat dengan kejadian buli di sekolah menerima hukuman bersesuaian dengan kesalahan.

“Ini penting agar ia (buli) tidak menjadi ikutan pelajar lain dan mengelak daripada terus berulang pada masa akan datang,” tambahnya.

Advertisement