Anda di sini

Penentuan final Piala Jabu

Advertisement

Oleh Saleman Senin

BURU GELARAN: EG Galaxy bakal menurunkan barisan terkuat mereka pada perlawanan final Piala Patinggi Jabu kelak.

Skuad Pelados Spaoh, EG Galaxy sudah tidak sabar beraksi memburu kejuaraan

BETONG, Final Piala Datuk Patinggi Jabu edisi Ke-16 tahun ini menemukan juara tahun lalu, Pelados Spaoh dan juara Liga Betong 2014, EG Galaxy belum ditentukan tarikh berikutan menanti kesediaan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menetapkan tarikh sesuai untuk beliau hadir merasmikan kejohanan tersebut.

Menurut jurucakap Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), mesyuarat menentukan tarikh final tersebut apabila Jabu hadir pada majlis sambutan Gawai Dayak 2014 peringkat Bahagian Betong pada 14 Jun nanti.

“Kita akan mendapatkan persetujuan daripada beliau menetapkan tarikh untuk final Piala Datuk Patinggi Jabu apabila beliau hadir dan mencadangkan tarikh tertentu untuk aksi tersebut.

“Apapun kita cuma ada tarikh 20 Jun, sekiranya beliau berpeluang hadir kerana lebih kurang seminggu selepas itu kita akan berada di bulan Ramadan dan kebanyakan pemain akan mula berpuasa,” katanya.

Pertembungan menarik kerana perlawanan merupakan aksi ulangan perebutan Piala Sumbangsih di mana EG Galaxy memenangi perlawanan tersebut dan ditentukan dengan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga wisel penamat.

Bagaimanapun, Pelados Spaoh yang juga juara tahun lalu menurunkan barisan terkuat mereka yang dibarisi bekas pemain legenda Bujang Senang mengekang barisan juara Liga Betong, EG Galaxy bagi menentukan piala kekal milik mereka.

Namun, EG Galaxy yang belum pernah beraksi di final Piala Jabu tidak mahu berputih mata.

Apatah lagi mereka menjulang Piala Sumbangsih dan Piala Liga Betong serta turut dihadiahkan Piala Fair Play sepanjang penyertaan 2014.

Sebelum beraksi di final, kedua-dua pasukan telah mengatasi lawan dalam separuh akhir dengan EG Galaxy membenam Bersepai FC yang menurunkan barisan pemain muda berkesudahan dengan jaringan besar 10-3.

Apapun, Pelados Spaoh hanya menunggu wisel kemenangan dibunyikan apabila lawan mereka Eureka tidak turun beraksi dalam perlawanan tersebut.

Bagi peminat kedua-dua pasukan mengharapkan perlawanan dapat diadakan dalam masa terdekat ini kerana bagi mereka ingin menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi di pentas final.

“Kebetulan sekarang masih dalam ‘mood’ yang baik kerana demam Piala Dunia sedang melanda.

“Apa lagi penghujung bulan ini sudah masuk bulan Ramadan.

Takut nanti, ramai pemain terpaksa berhijrah ke tempat lain selepas Hari Raya.

Susah juga nanti tidak cukup pemain yang akan beraksi,” kata jurucakap itu.

Bagi pemenang, juara akan menerima hadiah piala pusingan, wang tunai RM5,000, piala ringan dan pingat.

Naib juara menerima wang tunai RM2,500, piala iringan dan pingat manakala pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir berkongsi kedudukan ketiga bersama menerima wang tunai RM1,000.

Turut diberikan ialah Piala Fair Play dan Piala Penjaring Terbanyak.

Untuk juara Liga Betong 2014, EG Galaxy bakal menerima hadiah wang tunai RM1,000, piala dan pingat.

 

 

Advertisement