Anda di sini

Campur tangan jika kemelut berlarutan

Advertisement

Oleh Saibi Gi

 

CERIA: Reaksi Adenan ketika mengadakan sidang media sempena 100 hari menjadi Ketua Menteri, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata beliau akan campur tangan jika pertelingkahan antara beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri berlarutan dan menggugat kestabilannya.

“Saya tidak boleh membiarkan begitu sahaja kerana saya Pengerusi BN negeri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai situasi politik membabitkan BN negeri pada masa ini.

Pertelingkahan menerusi media di kalangan pemimpin-pemimpin daripada SUPP, SPDP dan PRS tercetus susulan 11 wakil rakyat SUPP dan SPDP keluar parti seterusnya menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) pada bulan lepas.

Pemimpin-pemimpin daripada tiga parti terbabit menentang kemasukan TERAS ke dalam BN kerana bimbang pertindihan terhadap tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Adenan pada sidang media sempena 100 hari beliau menjadi Ketua Menteri semalam berkata, hasrat TERAS untuk masuk BN adalah terpulang kepada mereka sendiri.

Menurutnya, bantahan terhadap hasrat TERAS menyertai BN yang disuarakan pemimpin-pemimpin SUPP, SPDP dan PRS juga perlu diterima.

Disoal lagi mengenai nasib TERAS, beliau berkata akan menyelesaikannya apabila tiba waktu sesuai kelak.

“Saya biarkan mereka berikan hujah-hujah mereka terlebih dahulu, kemudian saya akan gulung pada hujungnya,” ujarnya yang kelihatan ceria.

Beliau juga telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai TERAS, tetapi enggan mendedahkan inti pati perbincangan itu.

TERAS merupakan parti baharu bagi kumpulan wakil rakyat yang berasakan ia cara terbaik menyelesaikan masalah dalam parti asal masing-masing.

Pada 15 Mei lepas, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom (ADUN Pakan dan Ahli Parlimen Saratok), Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Sylvester Entri (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau keluar daripada SPDP.

Daripada SUPP terdiri daripada bekas Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh (ADUN Bawang Assan), Datuk Dr Jerip Susil (DUN Bengoh), Dr Johnical Rayong (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar).

Timbalan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) George Lagong (Pelagus) turut menyertai TERAS.

Mawan yang dikatakan akan dilantik menjadi Presiden TERAS sebelum ini dilaporkan berkata Adenan memberi reaksi yang baik apabila wakil rakyat terbabit kekal bersama BN dan memohon TERAS menjadi parti komponen BN.

Mengenai kemungkinan pilihan raya negeri diadakan awal, beliau berkata semua serba mungkin. Tempoh Dewan Undangan Negeri akan berakhir pada Jun 2016.

Mengulas sokongan rakyat terhadap BN di Sarawak beliau berkata gabungan parti-parti komponen itu masih diyakini dan dipercayai oleh rakyat menerusi keputusan beberapa pilihan raya sebelum ini.

Beliau mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki bagi memulihkan sokongan pengundi di kawasan majoriti Cina di bandar dan pinggir bandar.

Advertisement