Anda di sini

Baharu setahun, jalan dah rosak

Advertisement

Oleh Agnes Tugong

 

TIDAK SELAMAT: Kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilakukan segera demi keselamatan penduduk dan pengguna Jalan Biawak, Lundu.

LUNDU: Baharu setahun lebih selepas kerja-kerja pembinaan Jalan Biawak siap dilaksanakan, pelbagai kerosakan telah berlaku ke atas jalan sepanjang 18 kilometer itu.

Malah, kebanyakan penduduk setempat beranggapan jalan tersebut tidak selamat dan berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.

Keadaan gelap-gelita pada waktu malam bertambah bahaya kepada penduduk terutama di antara kilometer 4.1 dan 4.2 di mana terdapat lubang besar di bahu jalan tanpa papan tanda.

“Belum dua tahun selepas siap dibina sudah terdapat banyak kerosakan di sepanjang jalan ini terutama pada kilometer seperti yang telah saya nyatakan.

“Keadaan ini amat berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam lebih-lebih lagi tiada sebarang papan tanda diletakkan sebagai peringatan kepada pengguna,” kata Dick Diet Bukoh.

LUBANG BESAR: Keadaan berlubang di bahu jalan antara kilometer 4.1 dan 4.2 Jalan Biawak, Lundu yang berbahaya kepada pengguna.

Tambah Dick yang merupakan antara penduduk dan pengguna jalan itu, bukan sahaja berlubang dan tidak berlampu keadaan permukaan Jalan Biawak juga sudah tidak selamat digunakan.

Rumput tinggi sepanjang jalan yang menyukarkan pemandangan ditambah dengan keadaan jalan yang bengkang-bengkok meningkatkan lagi risiko kepada pengguna.

“Sebagai pengguna tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kerja-kerja pembinaan jalan ini tidak mengikuti Standard Operation Procedure (SOP) selain penggunaan bahan yang tidak berkualiti.

“Atas sebab itu, saya menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melakukan pemeriksaan ke atas jalan ini bagi menentukan sama ada ia selamat atau tidak untuk digunakan.

“Saya akan menulis perkara ini kepada MIROS dan jika diperlukan saya bersedia untuk membantu mereka bagi memudahkan kerja-kerja pemeriksaan dan penilaian ke atas jalan ini,” katanya.

Jalan Biawak pernah menjadi isu hangat apabila kerja-kerja pembinaan terbengkalai untuk satu tempoh yang agak lama berikutan masalah kontraktor.

Projek yang menelan kos RM30 juta itu mula dilaksanakan pada tahun 2010 di bawah Pakej Rangsangan oleh kerajaan persekutuan dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion.

Dalam pada itu, Jalan Biawak telah dibina sejak zaman konfrontasi ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963 oleh pasukan pertahanan.

Jalan ini digunakan oleh penduduk dari sembilan buah kampung di sekitarnya, selain jalan penghubung bagi penduduk dari Indonesia untuk ke Sambas.

Bagi melengkapkan kemudahan infrastrukur di kawasan Biawak yang juga menempatkan Kompleks Kastam Imigresen Kuarantin (KIK), Majlis Daerah Lundu turut membina Pusat Penjaja untuk penjaja Indonesia dan tempatan menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih teratur.

Advertisement