Anda di sini

Wanita Iban, Bidayuh, Orang Ulu dipelawa sertai Kumang Gawai

Advertisement

MIRI: Wanita Iban, Bidayuh dan Orang Ulu yang belum berkahwin berumur antara 18 hingga 28 tahun dialu-alukan menyertai Pertandingan Kumang Gawai Wilmar/PPB Oil Palm (PPBOP) 2014 yang bakal berlangsung pada 21 Jun ini.

Pertandingan yang akan diadakan di premis Saremas Sdn Bhd Off KL 115 Jalan Miri-Bintulu itu merupakan anjuran PPBOP bertujuan menyemarakkan serta memeriahkan lagi sambutan Gawai Dayak di kalangan masyarakat tempatan.

Menurut jurucakap penganjur, pertandingan terbuka kepada semua yang layak dan tidak memenangi sebarang Pertandingan Kumang Gawai anjuran penganjur pada tahun-tahun sebelumnya.

“Sesiapa yang berminat menyertai pertandingan mestilah warganegara Malaysia dan tidak memenangi sebarang Pertandingan Kumang Gawai anjuran PPBOP pada tahun lepas,” katanya kepada Utusan Borneo.

Ketika pertandingan bermula pada 7 malam, semua peserta diminta mengenakan pakaian tradisional Iban iaitu ‘Ngepan Iban’.

Mengenai hadiah, Kumang akan memenangi RM2,200 sementara naib johan RM1,600 dan RM1,100 bagi tempat ketiga.

Ketiga-tiga pemenang teratas juga bakal menerima trofi daripada pihak penganjur manakala tempat keempat dan kelima bakal menerima RM600.

Peserta yang berjaya mendapat tempat keenam hinga kelapan turut dihadiahkan RM500.

Bagi yang mendapat tempat kesembilan hingga ke-12, mereka akan menerima RM400 diikuti tempat ke-13 hingga ke-15 pula RM300.

Selain pertandingan utama berkenaan, para peserta terpilih turut bakal dianugerahkan anugerah Ratu Popular yang bakal membawa balik wang tunai RM500.

Tarikh tutup pendaftaran dalah pada 10 Jun dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi ahli jawatankuasa pertandingan iaitu Balang Taman (013-8376986), Lemias Ibin (011-15334695), Levy Tan (013-8272600) dan John Alit (019-4830133).

Pendaftaran adalah percuma dan penganjur tidak akan menanggung apa-apa kemudahan atau pengangkutan kepada para peserta pertandingan.

Bagaimanapun, 15 finalis akan menerima RM200 sebagai elaun untuk menghadiri pertandingan berkenaan.

Advertisement