Anda di sini

Vanessa, Tijan, Rita, rangkul gelaran Kumang tiga kategori

Advertisement

CANTIK: Para pemenang kategori Kumang Iban.

Oleh Clare Cinderella //

VANESSA Ritti Wat merangkul Kumang kategori kaum Iban manakala Kumang Bidayuh jatuh kepada Rita Berry Stephen, sementara Tijan Emang memenangi gelaran Keligit Orang Ulu.

Ketiga-tiga jelitawan tersebut dinobatkan dengan gelaran Kumang dan Keligit sempena sambutan perayaan Hari Gawai Dayak 2014 Peringkat Bahagian Miri yang diadakan di Eastwood Valley Golf & Country Club, baru-baru ini.

Gelaran itu juga membolehkan ketiga-tiga mereka, masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, selendang, sejambak bunga, piala dan hamper.

Kemenangan itu juga membolehkan Venessa, Tijan dan Rita mewakili bahagian Miri untuk pertandingan yang sama sempena sambutan Rumah Terbuka Hari Gawai Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 2 Jun lepas.

Sambutan Hari Gawai peringkat kebangsaan tersebut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain Vanessa, 23, yang berasal dari Bawang Assan, Sibu, kategori Kumang Iban turut dimenangi oleh Sheerina Dinggu Henry di tempat kedua dan ketiga ialah Sandra Datu.

Pemenang kedua kategori Kumang Bidayuh jatuh kepada Marcelle Justin dan Agnesiatilia Normala.

Sementara tempat kedua kategori Keligit Orang Ulu  dimenangi Fletcher Imelda Wee Kie Peng dan Florantna Lia di tempat ketiga.

Semua pemenang tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM800, sejambak bunga, piala dan hamper masing-masing manakala para pemenang tempat ketiga pula memenangi hadiah wang tunai RM600, sejambak bunga, piala dan hamper.

PEMBUKA TIRAI: Tarian ngajat yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari muda, membuka tirai majlis sambutan Hari Gawai Peringkat Bahagian Miri 2014.

Selain pertandingan Kumang Gawai dan Keligit, turut diadakan ialah pertandingan Keling/Belawan Gawai untuk lelaki.

Darmando Gary Budin, 18, dari Miri berjaya menambat hati para hakim untuk merangkul gelaran Keling Gawai Peringkat Bahagian Miri 2014, mengalahkan lima finalis yang lain.

Manakala tempat kedua jatuh kepada Keling Buma, 29, berasal dari Lubau Baru, Layar di Betong, yang juga seorang pensyarah di IKBN Miri.

Tempat ketiga kategori Keling/Belawan dimenangi oleh Robert Lian, 20, berasal dari Long Selawan, Ulu Baram.

Majlis sambutan Hari Gawai berkenaan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau dan isteri, Debbie Irang serta pemimpin-pemimpin masyarakat dan kenamaan.

SEGAK: Tetamu kehormat, Dennis Ngau (tengah) bergambar bersama pemenang Keling/Belawan Gawai 2014 Miri.

Advertisement