Anda di sini

‘Taiko’ mabuk

Advertisement

CEDERA: Mangsa yang cedera di kedua-dua betisnya semasa menunggu untuk dirawat di pekarangan HUS lewat malam kelmarin.

BERTUKAR menjadi ‘taiko’ apabila mabuk, adik-beradik sendiri dibelasah oleh seorang kaki botol yang mengamuk di rumahnya di kawasan penempatan semula di Desa Wira, Kuching, malam kelmarin.

Difahamkan, insiden berlaku apabila suspek yang berusia 29 tahun pulang ke rumah dalam keadaan mabuk seterusnya mencabar adik-beradiknya untuk beradu kekuatan.

Menyedari tiada seorangpun yang memperdulikannya, suspek kemudian mengamuk menyebabkan seorang daripada adik lelakinya yang berusia 22 tahun cuba menghalangnya dalam insiden yang berlaku sekitar jam 9 malam.

“Suspek cuba dipujuk oleh adiknya, namun keadaan bertambah tegang apabila suspek yang bersenjatakan parang mula menumbuk adiknya sebelum bertindak mencederakan kedua-dua betis adiknya.

“Ibu mereka yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut juga dipukul oleh suspek,” kata sumber.

Keadaan dilaporkan hanya terkawal apabila beberapa ahli keluarga yang lain termasuk jiran mereka berjaya menahan suspek sebelum mengejarkan mangsa dan ibunya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

Menurut seorang ahli keluarga, insiden tersebut bukan kali pertama berlaku di mana suspek sering kali mengamuk di rumah apabila mabuk.

“Dia akan menjadi ‘taiko’ apabila mabuk, tapi kalau tidak mabuk mana ada dia berani,” katanya.

Si ibu dan mangsa yang cedera di kedua-dua betisnya itu dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pada malam yang sama.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis semalam difahamkan masih belum ada laporan polis dibuat berhubung insiden tersebut.

 

Advertisement