Anda di sini

SCA melantik jurulatih baharu

Advertisement

KUCHING: Persatuan Kriket Sarawak (SCA) membuat persediaan awal bagi menghadapi SUKMA 2015 Kuala Lumpur dengan melantik jurulatih baharu Daminda Ranaweera.

Pelantikan jurulatih berpengalaman luas kelahiran Kandy, Sri Lanka itu mendapat kelulusan dari Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dengan harapan beliau dapat mengembalikan semula kegemilangan sukan kriket negeri.

Daminda, 34, yang memiliki pengalaman luas dari Sri Lanka, England dan Australia telah tiba di Sarawak dan bersedia memulakan tugas.

Semasa zaman kegemilangannya, Daminda Ranaweera telah mewakili pasukan Kelab Kriket Colombo, Kandurata, Kelab Kriket Remaja Kurunegala, Kelab Kriket Nondescripts, Kelab Athletic dan Kriket Kesatuan Tamil.

Kelebihannya sebagai pemukul dan penjaga wiket menjadikan Daminda pemain yang sentiasa digeruni lawan.

Beliau pernah melakar kejutan dengan mencatat 99 larian terbanyak selain beraksi dalam 104 perlawanan kriket kelas pertama.

Presiden SCA, Awang Mahyan Awang Mohamed berharap pengalaman Daminda dapat membawa angin perubahan serta budaya lebih professional terhadap sukan kriket negeri Sarawak.

Selain mampu membentuk disiplin yang tinggi kepada barisan atlet yang akan mewakili Sarawak pada SUKMA 2015 Kuala Lumpur kelak.

“Kita berharap pelantikan Daminda Ranaweera sebagai jurulatih profesional sepenuh masa akan dapat merealisasi misi SCA untuk meraih pingat pada Sukma 2015 Kuala Lumpur sebagai mana pernah tercipta pada tahun 2004,” jelas Mahyan dengan nada yakin.

Beliau yang mewakili SCA merakam jutaan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan MSNS dengan pelantikan Daminda yang diharap mampu membawa kejayaan terhadap sukan kriket Sarawak.

Sementara itu, latihan fasa pertama persediaan untuk menghadapi SUKMA 2015 Kuala Lumpur akan bermula minggu depan.

Latihan tersebut akan dipantau Jurulatih Kriket Pembangunan Kebangsaan, Thushara Prabath Kodikara.

 

Advertisement