MIRI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disaran menyalurkan peruntukan lebih awal bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18, 2016 apabila Sarawak menjadi tuan rumah.
Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata, peruntukan bagi tujuan itu perlu disalurkan mulai tahun ini secara berperingkatperingkat sebagai persiapan awal penganjuran temasya sukan itu.
“Kita sudah mempunyai pengalaman di Pahang dan Perlis di mana terdapat masalah teknikal terutamanya dari segi kemudahan atau venue pertandingan.
Kita harap SUKMA Sarawak 2016 lebih lancar,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Ketua Kontinjen Sarawak itu memberitahu, masalah teknikal seperti yang berlaku di Kompleks Renang Kangar, Perlis baru-baru ini mungkin dapat dielakkan jika peruntukan diberikan lebih awal.
“Sebab itu kita berharap kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan lebih awal iaitu secara berperingkat- peringkat agar segala persiapan termasuk kemudahan berada di tahap terbaik dan selamat,” tegasnya.
Beliau memberitahu, beberapa kemudahan untuk tujuan penganjuran SUKMA 2016 sedang dinaik taraf bahkan lokasi yang sesuai untuk acara-acara yang dipertandingkan turut dikenal pasti.
Mengulas mengenai pencapaian Sarawak pada SUKMA Perlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu cukup bangga dengan prestasi dan komitmen atlet.
“Sarawak kini berada di ranking ketiga dan semua atlet yang bertanding kali ini sebahagian besarnya adalah muka baharu dan telah berjaya menyumbang pingat untuk Sarawak,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan latihan yang berterusan dan pengalaman serta kepakaran jurulatih, tidak mustahil Sarawak bakal menyinar pada SUKMA 2016 kelak.
“Kita masih mempunyai masa dua tahun untuk melatih atlet-atlet baharu ini kerana pada SUKMA Perlis pun, mereka telah menyumbang emas, perak dan gangsa untuk Sarawak,” ujarnya.