Anda di sini

Pendekar DUN Demak Laut dipelawa sertai Karnival Pencak Silat Tertutup

Advertisement

KUCHING: Pendekar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut kini dipelawa menyertai Karnival Pencak Silat Tertutup anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan itu pada 7 dan 8 Jun ini.

Menurut Pengerusi Karnival Mahmud Narawi, dua kategori akan dipertandingkan secara berpasukan iaitu dewasa (14 tahun ke atas) dan remaja (13 tahun ke bawah) yang menawarkan hadiah wang tunai RM500, piala, pingat dan sijil penyertaan kepada juara.

“Ia dibuka kepada pengamal seni persilatan di bawah DUN Demak Laut sahaja yang berdaftar dengan Rumpun Silat Sarawak (RSS) secara berpasukan iaitu lapan orang bagi kedua-dua kategori yang akan diadakan pada 7 dan 8 Jun ini,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat PBB cawangan Demak Laut di sini semalam.

Beliau memberitahu karnival itu akan diadakan di Dewan Kampung Hijrah Jalan Bako selama dua hari dan majlis penutupan dijangka akan dihadiri ADUN Demak Laut Dr Hazland Hipni.

Mengulas mengenai tujuan penganjuran karnival silat itu, Mahmud berkata ia bagi meningkatkan integriti kebudayaan dan sosial masyarakat setempat khasnya di kalangan pengamal ilmu persilatan.

“Malah, karnival ini julung kali kita anjurkan bagi memperkasakan perpaduan dan keharmonian rakyat di sini selain mempromosikan seni silat di kalangan remaja khasnya golongan wanita,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, setiap pasukan akan diberi masa 10 minit untuk membuat persembahan iaitu individu, bertempur berpasangan (dua orang) dan persembahan berkumpulan (lima orang).

“Tarikh tutup penyertaan dilanjutkan sehingga 7 Jun bagi memberi peluang untuk mereka yang ingin menyertai karnival silat ini,” ujarnya.

Sementara itu tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori akan menerima wang tunai RM300 dan RM250 berserta piala, pingat dan sijil.

Manakala tempat keempat, kelima dan keenam tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana penganjur turut menyediakan hadiah berupa wang tunai RM100 berserta sijil penyertaan.

“Justeru, kami amat mengalu- alukan orang ramai khasnya guru persilatan ikut serta dalam aktiviti yang kita anjurkan pada Sabtu dan Ahad ini,” tambahnya.

 

Advertisement