Anda di sini

Orang ramai perlu yakin dengan sijil halal JAKIM

Advertisement

YAN: Orang ramai perlu yakin dengan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi pelbagai produk makanan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sijil halal yang dikeluarkan pihaknya akan mengambil kira standard makanan yang diuji oleh JAKIM dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dalam hal ini KKM hanya menjalankan ujian sampel makanan dan keputusan tentang status sesuatu makanan itu sama ada halal atau tidak hanya dikeluarkan oleh JAKIM.

“JAKIM juga ada kumpulan audit yang akan melakukan pemeriksaan di kilang bagi melihat pengurusan, penyimpanan bahan mentah dan pengeluaran makanan. Jika tidak menepati piawaian, sijil halal tidak dikeluarkan,” katanya kepadapemberita selepas majlis penyampaian sumbangan di Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Limau di sini semalam.

Beliau berkata kumpulan audit terbabit akan melakukan analisis sampel setiap makanan lebih sekali dalam setahun bagi memastikan makanan yang dijual tidak tercemar dengan pelbagai bahan tidak halal seperti Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi.

Jamil berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga turut terlibat dalam penguatkuasaan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 1972.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan perkara seperti coklat susu Cadbury yang tercemar dengan DNA babi tidak akan berulang kerana masyarakat Islam khususnya telah memberi kepercayaan dan amanah kepada JAKIM.

“JAKIM pertahan sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat coklat Cadbury kerana produk makanan itu tidak tercemar dengan DNA babi seperti yang disebut sebelum ini,” katanya.

Katanya jawatankuasa syariah syarikat itu juga perlu memperkemaskan pemantauan pembuatan coklat itu bagi mengelak kejadian sama berulang sehingga  merisaukan pengguna dari kalangan masyarakat Islam.

Dalam satu kenyataan 2 Jun lepas, Jamil Khir berkata analisis makmal Jabatan Kimia terhadap produk coklat susu Cadbury-Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) disahkan tiada DNA babi. — Bernama

Advertisement