Anda di sini

Negara rugi RM1 bilion setahun akibat penggunaan pukat tunda

Advertisement

KOTA BAHARU: Negara mengalami kerugian kira-kira RM1.5 bilion setahun akibat penggunaan pukat tunda oleh nelayan di perairan pantai barat Semenanjung terutama di Zon B dan Zon C.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata lebih 15 daripada 46 peratus (kira-kira 175,000 tan metrik) tangkapan yang diperoleh  nelayan pukat tunda itu adalah ikan yang bersaiz kecil dan belum matang untuk dipasarkan.

“Sebanyak 175,000 tan metrik ikan tersebut terpaksa dijual dengan harga RM60,000 dan sekiranya kita biarkan ia matang mengikut saiz pasaran kita sepatutnya mampu menjual pada harga melebihi RM1.5 bilion.

“Pukat tunda ini satu perkakasan yang sangat efisien bila diletakkan pukat tersebut semua hidupan laut akan memasuki dalam pukat berkenaan termasuk ikan-ikan kecil namun tidak dinafikan hasil tangkapan pukat tunda merupakan yang tertinggi berbanding yang lain iaitu sebanyak 46 peratus,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Persidangan Tahunan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Perikanan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata ekoran daripada permasalahan tersebut, pihaknya telah membuat pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di perairan Pantai Barat Semenanjung  berkuat kuasa, pada 1 Jun lalu.

“Zon A yang dahulu kawasannya merangkumi 1 hingga 5 batu nautika kepada 1 hingga 8 batu nautika dari pantai, begitu juga dengan Zon B kepada 8 hingga 15 batu nautika (dahulu 5 hingga 12 batu nautika), Zon C kepada 15 batu nautika hingga sempadan Zon Ekonomi Esklusif (ZEE) (dahulu 12 hingga 30 batu nautika).

“Kita mengekalkan Zon Konservasi iaitu zon bagi aktiviti akuakultur, ternakan kerang dan penglibatan komuniti nelayan iaitu merangkumi 0 hingga 1 batu nautika dari pantai selain menambah satu lagi zon iaitu Zon C3 bagi Lautan Hindi,” katanya.

Beliau berkata pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di perairan pantai timur akan dilaksanakan pada Januari 2015.

“Bagi perairan tersebut dilewatkan sedikit memandangkan permasalahan pencerobohan pukat tunda di kawasan berkenaan tidak serius seperti di perairan pantai barat,” katanya. — Bernama

Advertisement