Anda di sini

Najib lancar Tabung Generasi Global MRCB

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Tabung Generasi Global MRCB, satu inisiatif untuk menggalakkan peningkatan pendidikan sekolah rendah di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Datuk Mohamad Salim Fateh Din berkata tabung itu akan membantu memperkayakan persekitaran pembelajaran bagi 3,000 murid di tujuh sekolah rendah yang menjadi anak angkat MRCB.

“Sekolah-sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya dan SK Kuala Perai di Pulau Pinang, SK Iskandar Perdana di Perak, SK La Salle 1 dan 2 di Brickfields, SK Indera Shahbandar dan SK Serandu di Pahang,” katanya kepada pemberita pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Mohamad Salim berkata tabung itu akan dijana oleh anak syarikat MRCB dengan minimum RM500,000 setiap tahun.

Semasa pelancaran itu, Najib mendepositkan cek RM500,000 daripada MRCB sebagai penajaan kumpulan itu untuk inisiatif itu.

Terdahulu, Najib yang tiba di Nu Sentral Mall, satu lagi projek MRCB yang dibuka kepada orang ramai pada Mac tahun ini dan terletak di stesen Kuala Lumpur Sentral, melawat pusat beli belah dan stesen itu.

Najib kemudiannya mendengar taklimat ketua pegawai operasi kumpulan MRCB Mohd Imran Mohamad Salim tentang pelan pembangunan semula stesen itu menjadi sebuah hab pengangkutan bertaraf antarabangsa.

Pada masa ini, stesen itu memberikan khidmat kepada 160,000 orang setiap hari termasuk mereka yang berulang alik dan sejumlah besar pelancong, sehinggamencapai kira-kira 58.4 juta pengguna setahun. — Bernama

 

Advertisement