PUTRAJAYA: Makmal persendirian yang menawarkan khidmat uji kaji berkaitan isu halal perlu memastikan piawaiannya dijaga sepanjang masa, kata Ketua Pengarah Jabatan Kimia Ahmad Ridzuan Ibrahim.
Beliau berkata pewujudan lebih banyak makmal adalah baik, namun pihak pengendali makmal perlu memastikan penyelarasan dan standard makmal itu diberi keutamaan supaya hasil kajian dikeluarkan adalah dipercayai dan mempunyai kredibiliti.
Jabatan Kimia akan terus memberi sokongan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari aspek kajian berkaitan isu halal, sekiranya diperlukan, katanya ketika diminta mengulas berhubung isu kajian jabatan itu ke atas dua sampel coklat Cadbury yang didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam ujian awal makmal Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis apresiasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Majlis itu dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.
Ahmad Ridzuan berkata pihaknya juga bersedia membantu JAKIM dari aspek teknikal dalam usaha jabatan itu menubuhkan makmal halalnya sendiri.
“ Sebelum ini pun kita telah beri khidmat teknikal kepada Jakim, tetapi ia (makmal halal) bergantung kepada keperluan kerana mereka juga yang akan menubuhkan makmal sendiri, jadi kita tidak mahu ada pertindihan kerja nanti,” katanya.
Pada Disember tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jakim sedang membina makmal analisis halal bernilai RM56.7 juta di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. — Bernama