Anda di sini

Kawasan berisiko denggi di Sibu dikenal pasti

Advertisement

SIBU: Empat kawasan berisiko denggi telah dikenal pasti di daerah Sibu sehingga 4 Jun lepas, yang mencatat kes terkumpul tertinggi di Sarawak.

Kawasan ini ialah Jalan Ding Kik, Lorong Oya 7, Jalan Oya dan Lorong Merdeka 14.

Ketika dihubungi semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datu Dr Zulkifli Jantan berkata, kawasan berisiko tersebut merupakan kawasan yang pernah berlaku wabak denggi sebelum ini.

“Kawasan ini termasuk kawasan yang mencatat dua kes denggi dalam tempoh  dua minggu. Namun secara keseluruhan kes denggi di Sarawak adalah terkawal,” ujarnya.

Sehingga 4 Jun lepas, lima kes denggi dicatatkan di Sarawak. Sementara kes terkumpul denggi sehingga minggu ke-15 (4-12 April) adalah sebanyak 346 kes.

Daripada jumlah itu, daerah Sibu mencatat 104 kes, diikuti Miri (55), Kuching, Daro dan Bintulu (23) serta Limbang (14).

Ditanya mengenai sebab banyak kes berlaku di Sibu, Dr Zulkifli berkata ia mungkin disebabkan keadaan yang sesak di sesetengah kawasan kediaman terbabit.

“Jabatan Kesihatan Negeri akan terus meningkatkan program kesedaran di kawasan perumahan sama ada di bandar atau luar bandar,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan kawasan persekitaran tempat tinggal mereka, termasuk melupuskan sampah-sarap dengan betul.

“Orang ramai juga perlu meluangkan masa 10 minit seminggu bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan mereka,” tambah Dr Zulkifli.

Advertisement