Anda di sini

Jelinie Olahragawati Terbaik SUKMA XVII

Advertisement

BANGGA: Muhammad Irfan (kiri) dan Jelinie masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-17 pada majlis penutup SUKMA XVll Perlis 2014 di Stadium Syed Putra di Kangar, Perlis malam kelmarin. — Gambar Bernama

PERLIS: SUKMA XVII meninggalkan detik manis buat atlet angkat berat Sarawak Jelinie Empera setelah beliau ditabalkan Olahragawati Terbaik pada kejohanan yang melabuhkan tirainya di Stadium Tuanku Syed Putra semalam.

Kejayaannya merangkul dua emas dalam acara Snatch dan Clean & Jerk Wanita termasuk memperbaharui dua rekod kejohanan mengangkat atlet kelahiran Tuai Rumah Julian, Sg Laong Bakong, Miri itu sebagai atlet wanita paling cemerlang pada temasya kali ini.

Ia kali kedua berturut-turut atlet dari kontinjen Sarawak ditabalkan Olahragawati Terbaik setelah gimnas cilik Esmelda Arecia Menti Alfred Geling merangkul anugerah sama pada SUKMA ke-16 di Kuala Lumpur tahun lepas.

Bagi Jelinie, 21, anugerah yang diterimanya itu menjadi hadiah paling istimewa baginya memandangkan SUKMA kali ini adalah pentas terakhirnya.

“Saya tidak menduga dapat meraih anugerah Olahragawati Terbaik kerana ramai lagi atlet yang lebih layak.

“Pengiktirafan ini cukup bermakna lebih-lebih SUKMA ini merupakan yang terakhir bagi saya,” katanya kelmarin.

Jelinie juga menanam harapan anugerah yang diterimanya itu akan menjadi inspirasi baginya untuk terus meraih kejayaan di masa akan datang.

“Saya juga mahu menghadiahkan pengiktirafan ini kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) atas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini.

“Tidak lupa juga buat ahli keluarga dan jurulatih atas sokongan serta bimbingan berterusan demi untuk melihat saya berjaya dalam sukan ini,” tambahnya.

Olahragawan Terbaik disandang atlet dari Negeri Sembilan Muhammad Irfan Shamshuddin yang menggondol emas dengan memecah rekod kebangsaan dan kejohanan SUKMA dalam acara melempar cakera.

Kontinjen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditabalkan juara keseluruhan SUKMA XVII dengan merangkul 55 emas, 38 perak dan 49 gangsa.

Terengganu di kedudukan kedua dengan 51 emas, 55 perak dan 31 gangsa manakala Sarawak di tempat ketiga dengan 48 emas, 32 perak dan 35 gangsa.

 

Advertisement