Anda di sini

Elektrik lebih konsisten di Baram

Advertisement

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Penduduk di kawasan pedalaman Baram akan menikmati bekalan elektrik yang lebih konsisten dengan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan ke Long Silat, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau memberitahu, pengumuman berkenaan menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan rakyat di kawasan pedalaman dan mengambil berat terhadap keperluan mereka.

“Ini menunjukkan kerajaan persekutuan prihatin dengan keperluan rakyat di luar bandar dan bersedia untuk membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk terbabit,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Menurut Dennis, penduduk akan menikmati bekalan elektrik yang lebih baik memandangkan pada masa ini kebanyakan penduduk hanya bergantung kepada jana kuasa (generator).

Malahan katanya, dengan peruntukan yang diberikan bagi membekalkan tenaga elektrik, ia akan lebih meringankan beban penduduk kerana tidak perlu bergantung kepada jana kuasa yang memerlukan penggunaan minyak diesel yang mahal dan hanya mampu bertahan kira-kira enam jam pada waktu malam.

Dalam pada itu jelas Dennis, dengan peruntukan tambahan berkenaan, penduduk di kawasan itu turut akan menikmati akses jalan yang lebih sempurna.

“Dengan peruntukan tambahan itu, kita akan mempertingkatkan jalan yang lebih baik khususnya jalan raya yang menghubungkan kawasan pedalaman Baram dengan Miri bagi memudahkan penduduk sekitarnya menggunakan kemudahan jalan yang ada,” katanya.

Jelas Dennis, perjalanan kira-kira sembilan jam melalui jalan balak untuk sampai ke Miri amat memakan masa dan kos perjalanan yang mahal.

“Oleh itu, dengan menaik taraf jalan balak itu nanti, ia akan lebih memudahkan perjalanan, mengurangkan masa dan kos perjalanan,” ujarnya sambil menambah kerja-kerja naik taraf jalan berkenaan akan disegerakan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Selain itu katanya, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan persekutuan menyokong dan membantu cadangan Telang Usan dijadikan sebuah bandar baharu.

“Untuk mencapai kemajuan dan pembangunan berkenaan, masyarakat luar bandar khususnya kawasan pedalaman Baram perlu bekerjasama dan menyokong kerajaan khasnya melalui program atau aktiviti pembangunan yang dijalankan agar kita dapat bersama menikmati pembangunan yang berterusan,” katanya.

Advertisement