Anda di sini

SUPP tolak kemasukan TERAS dalam BN

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Chin mahu kepimpinan BN Sarawak tegas tolak pemimpin, ahli yang melompat parti

SELAMAT ULANG TAHUN: Chin menaikkan bendera SUPP di Dewan Sa’ati di Kuching, semalam.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetap dengan pendirian enggan menerima kemasukan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) meskipun melalui formula BN-Plus yang dicadangkan parti baharu itu.

Presidennya Tan Sri Peter Chin mahu kepimpinan BN di Sarawak tegas menolak pemimpin dan ahli yang melompat daripada parti BN kepada parti baharu, yang mana mereka yakin dapat memimpin parti lain untuk mendapat keanggotaan dalam BN.

“Dengan menerima golongan ini ke dalam BN bermaksud menggalakkan perbuatan tidak setia kepada BN.

“Tidak syak lagi amalan yang tidak sihat ini akhirnya akan memusnahkan organisasi BN.

“BN Sarawak dan BN Kebangsaan perlu dan mesti menghantar mesej tegas kepada semua pihak berkenaan bahawa kita tidak sesekali menerima ‘pemberontak’,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-55 SUPP di Ibu Pejabat SUPP di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Chin menegaskan, sehingga 30 April lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh, Opar, Engkilili dan Bawang Assan telah meletak jawatan daripada SUPP untuk menyertai TERAS.

“Kami bukan sahaja kehilangan YB ini tetapi kita juga kehilangan menteri kanan dan menteri muda.

“Apa yang paling menyedihkan ialah cara YB ini memperlakukan kita, iaitu parti yang telah menyokong mereka dan memberi mereka peluang untuk membangunkan kerjaya politik mereka,” jelasnya.

Chin turut melahirkan perasaan sedih menyaksikan pengkhianatan serta sikap mementingkan diri dan tidak berprinsip pemimpin yang keluar daripada SUPP.

“Memang menyedihkan melihat beberapa pemimpin yang bertindak seolah-olah mereka lebih penting daripada parti.

“Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa jika mana-mana anggota atau pemimpin tidak dapat tunduk kepada kepimpinan kolektif dan tanggungjawab dalam parti tetapi memilih untuk menyelamatkan diri sendiri, dia mesti meninggalkan parti, jika tidak perpaduan parti dan kekuatan politik akan hilang.

“Untuk kestabilan jangka panjang dan kemajuan parti, setiap ahli dan pemimpin perlu menerima hakikat bahawa parti yang paling penting.

“Tidak boleh ada konflik antara kepentingan peribadi dan parti! Jika ada, kepentingan parti perlu sentiasa diutamakan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Chin menambah Pilihan Raya Negeri hanya tinggal beberapa bulan dan beliau mahu setiap pihak bersedia khasnya BN Negeri dalam menyediakan landasan kepada setiap parti komponannya.

“Persekitaran politik negara ketika ini tidak kondusif untuk memastikan TERAS dibenarkan menjadi calon di kawasan pilihan raya yang dipegang oleh pemimpin TERAS yang berasal daripada SUPP mahupun SPDP.

“Mereka (TERAS) boleh menjadi calon pada pilihan raya akan datang tetapi sebagai parti pembangkang.

“SUPP menyokong prinsip memilih calon tetapi ini mesti tertakluk kepada satu lagi prinsip yang lebih penting dan kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan kepada parti BN mesti kekal dengan pihak-pihak BN kecuali mereka tidak mahu kerusi itu lagi.

“Dalam kes SUPP, parti mempunyai 19 kerusi negeri dan tujuh kerusi Parlimen, kerusi ini mesti kekal dengan SUPP,” jelasnya.

Menyentuh mengenai ulang tahun SUPP, Chin memberitahu bahawa pada 4 Jun (semalam) genap usia SUPP 55 tahun.

Menurutnya, pencapaian usia 55 tahun ini membuktikan sejarah kegemilangan parti itu melalui kepercayaan ahlinya sejak 4 Jun 1959 apabila SUPP telah diberi pendaftaran sebagai pertubuhan politik.

“SUPP merupakan parti politik tertua di Sarawak dan janganlah sesekali kita lupa!

“Benar, kita bukan seperti UMNO, MCA atau PBB tetapi pemimpin dan ahli-ahli kita mempunyai kepercayaan tidak berbelah bahagi dalam objektif parti kita, yang paling penting ialah untuk mewujudkan masyarakat yang adil, saksama dan sama rata untuk semua.

“Saya percaya bahawa SUPP akhirnya tetap dan kekal berdiri tidak kira musuh tetap berusaha menghancurkan kita,” tambahnya.

Advertisement