Oleh Harry Ilias //
Pencapaian kontinjen negeri meningkat, tamatkan saingan SUKMA XVII di tempat ketiga keseluruhan
PERLIS: Sarawak mengekalkan statusnya selaku antara kuasa sukan di Malaysia setelah menamatkan cabaran SUKMA XVII di tempat ketiga dengan memungut 48 emas, 32 perak dan 35 gangsa selain muncul juara keseluruhan dalam acara wushu, tenis dan tenpin boling.
Pencapaian kontinjen negeri pada temasya kali jauh meningkat jika dibandingkan dengan kutipan 42 emas, 32 perak dan 37 gangsa pada SUKMA 2012 di Pahang menyaksikan Sarawak menduduki tangga keempat.
SUKMA yang berlangsung selama 10 hari turut menyaksikan atlet Sarawak berjaya memperbaharui lima rekod kejohanan SUKMA yang dilakar dalam acara renang (4x200m Gaya Bebas Lelaki), olahraga (baling tukul besi lelaki dan wanita) dan angkat berat (snatch dan clean & jerk wanita).
Kuartet renang Sarawak Alex Tiong, Ngui Jiung Wei, Vernon Lee dan Welson Sim mencipta rekod baharu dalam acara 4x200m Gaya Bebas Lelaki dengan catatan masa 07:47.31s.
Sementara Michael Sia Sung Dak dan Grace Wong berjaya memperbaharui rekod dalam acara baling tukul besi dengan 56.98m dan 55.82m.
Arena angkat berat pula menyaksikan Jelinie Empera memperbaharui rekod dalam acara snatch dengan angkatan seberat 85kg dan 107kg dalam acara clean & jerk.
Kontinjen renang paling cemerlang dengan menggondol 9 emas, 5 perak dan 3 gangsa disusuli tenpin boling yang memecut pada saat akhir sebelum berjaya pulang dengan 6 emas, 5 perak dan 2 gangsa.
Sarawak turut mengekalkan kejuaraan dalam acara wushu setelah meraih 5 emas, 5 perak dan 6 gangsa manakala olahraga turut menghadiahkan 5 emas, 3 perak dan 5 gangsa.
Acara taekwondo tidak menghampakan Sarawak dengan sumbangan 4 emas dan 3 gangsa sementara tenis meneruskan kecemerlangan dengan pungutan 4 emas, 2 perak dan 3 gangsa.
Petanque yang hanya menyasarkan satu emas berjaya menggondol 3 emas, 1 perak dan 2 gangsa, diikuti prestasi membanggakan skuad memanah dengan mengutip 3 emas, 1 perak dan 1 gangsa.
Penyumbang pingat lain termasuk angkat berat (2 emas, 3 perak, 1 gangsa), pencak silat (2 emas, 2 perak, 3 gangsa), terjun (2 emas, 1 perak, 2 gangsa), tinju (1 emas, 2 gangsa), skuasy (1 emas, 1 gangsa), boling padang (1 emas, 1 gangsa), karate-do (1 perak, 1 gangsa) dan berbasikal (2 gangsa).
Sementara acara kanu, bola sepak, hoki, golf dan sepak takraw pula gagal menyumbangkan sebarang pingat.