Anda di sini

Pemandu teksi berkupon di klia2 mahu kemasukan teksi bandar dikurangkan

Advertisement

SEPANG: Kira-kira 2,000 pemandu teksi berkupon di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) mahu perkhidmatan teksi bandar di lapangan terbang itu dikurangkan kerana persaingan yang timbul boleh menjejaskan periuk nasi mereka.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Premier Terminal Penerbangan Tambang Murah LCCT/KLIA2, Rusli Sharif berkata jumlah teksi di klia2 kebiasaannya ialah kira-kira 3,000 termasuk lebih 1,000 teksi bandar.

“Kalau boleh kita hendak minta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengurangkannya kepada 300 pada waktu puncak iaitu setiap Jumaat sehingga Isnin dari jam 5 petang sehingga 8 malam.

“Manakala pada waktu biasa biar hanya kami yang beroperasi,” katanya kepada pemberita di pool teksi klia2 di sini semalam.

Beliau berkata kemudahan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) juga dilihat menjadi saingan kepada mereka yang mana sebelum ini perkhidmatan itu tidak terdapat di LCCT, selain kegiatan ulat teksi yang turut semakin berleluasa.

Pemandu teksi premier LCCT/KLIA2 sebelum ini beroperasi di LCCT sebelum berpindah di klia2 sejak 2 Mei lepas dengan mengguna pakai perkhidmatan berkupon manakala teksi bandar menyediakan perkhidmatan bermeter.

Rusli berkata semasa di LCCT, mereka mampu memperoleh sehingga empat kupon dalam masa 18 jam berbanding sekarang yang hanya antara dua hingga tiga kupon dalam masa 24 jam.

“Kebiasaannya kupon pertama kami ialah untuk membayar sewa teksi, kupon kedua untuk minyak, kupon ketiga barulah gaji kami dan untuk kupon keempat adalah bagi simpanan kami,” jelasnya. — Bernama

Advertisement