Anda di sini

Lee tetap bangga dengan pencapaian kontinjen Sarawak di Perlis

Advertisement

JASAMU DIKENANG: Lee menyerahkan cenderamata kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis Fadzil Haroon yang menjadi Bapa Angkat kontinjen Sarawak pada SUKMA XVII sambil disaksikan Timbalan Ketua Kontinjen Affandi Keli (kiri) dan Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Lucas Kalang Laeng (kanan) kelmarin.

PERLIS: Ketua Kontinjen Datuk Lee Kim Shin berpuas hati dengan pencapaian Sarawak pada SUKMA XVII yang melabuhkan tirainya di sini semalam.

Sekalipun gagal dalam pemburuan 55 pingat emas, Lee tetap berbangga dengan prestasi kontinjen negeri setelah berjaya menggondol 115 pingat dengan pecahan 48 emas, 32 perak dan 35 gangsa untuk menamatkan saingan di tempat ketiga.

“Prestasi kita pada SUKMA kali ini semakin meningkat berbanding ketika menduduki tempat ke-6 pada 2010 di Melaka dan ke-4 pada 2012 di Pahang,” katanya semasa sidang media semalam.

“Selain itu, pada temasya kali ini kontinjen kita juga berjaya muncul juara keseluruhan dalam acara wushu, tenis dan tenpin boling.”

Lee yang juga Menteri Muda Sukan menjelaskan pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas yang akan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PSNS) Dr Ong Kong Swee bagi melakukan penyelidikan secara menyeluruh terhadap acara-acara sukan yang berjaya dan gagal memungut sebarang pingat.

Beliau juga menekankan Sarawak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan jurulatih baharu selain menilai prestasi jurulatih sedia ada dan program kejurulatihan sebagai persediaan awal untuk menjuarai SUKMA 2016.

“SUKMA kali ini membuktikan kita mampu muncul juara jika beberapa acara sukan dapat beraksi dengan baik.

“Justeru pada 2016, kita perlu membuat persediaan awal dengan melakukan penilaian secara mendalam terhadap sukan yang gagal memberi sumbangan pada kali ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai SUKMA kali ini, Lee berkata prestasi beberapa kontinjen negeri lain juga semakin baik dengan mengambil kira jumlah pingat yang dirangkul oleh mereka.

Justeru tambahnya lagi mereka perlu tampil dengan perancangan strategik baharu dengan memfokuskan program pembangunan atlet, kejurulatihan termasuk penyediaan fasiliti yang terkini dan lengkap bagi memastikan impian untuk muncul juara keseluruhan pada SUKMA ke-19 di Sarawak menjadi kenyataan.

Advertisement